As-Salam,
1. Dalam
kehidupan ini ada manusia yang baik dan ada yang jahat. Tidak ada ertikata ‘baik
pun tidak jahat pun tidak’. Apabila manusia lakukan kebaikan maka baik lah dia
dan begitu jugalah sebaliknya. Oleh kerana itulah juga cuma ada dosa dan pahala
tiada ‘dopa = dosa + pahala dan syurga serta neraka tidak ada ‘syurne = surga +
neraka. Pilihan di tangan kita maka pilihlah menggunakan akal yang
dianugerahkan Allah swt sepertimana huraian saya dalam artikel ditulis semalam berjudul
‘Minda Merempat’ dalam blog saya ‘Berguru Pada Alam’ ( http://mahagurualam.blogspot.com/2013/12/minda-merempat.html ).
2. Ada manusia
jahat yang berbuat baik dan ada yang baik berbuat jahat. Baik dari pandangan
manusia itu sesuatu yang subjektif. Baik bagi kelompok sendiri akan jahat pula di seberang sana. Namun, baik atau jahat yang sebenar-benarnya
adalah yang dinilai oleh Maha Pencipta. Bagi yang hanya kepingin manusia
melihat baik, maka manusia dipertuhankan sehingga mulut mengucap kalimah
shahadah tetapi tingkah-laku dan perbuatan bertasbih dan bertahmid kepada
manusia. Syirik tanpa sedar atau sedar tanpa kepedulian dilakukan hanya kerana
ingin manusia melihat baik untuk mendapatkan habuan yang tidak seberapa di sisi
Allah tetapi amat besar kepada mereka.
3. Sulastomo
dalam bukunya dengan judul ‘Percakapan dengan Wong Cilik’ merupakan kompilasi
artikel-artikel nya yang diterbitkan dalam Harian Umum Pelita di Indonesia
berkata “Pekerjaan dokter adalah baik. Berdagang juga baik. Tetapi kombinasi
kedua tidak baik”. Maksud berdagang di sini tidaklah aku fahami bahawa semuanya
percuma. Pastinya keuntungan dicari untuk kelangsungan hidup Sang Doktor tetapi
tidak keterlaluan sehingga mencekik pesakit yang sedia menunggu detik kematian.
Etika kedoktoran sudah jauh dicampak yang dirasakan aku sebagai apa yang
dimaksudkan Sulastomo ‘kombinasi keduanya tidak baik’. Ini jugalah yang berlaku sekarang apabila
semuanya didagangkan sehingga yang menjadi ‘tanggungjawab sosial dan
tanggungjawab moral sudah mereput. Oleh itu, apa lagi yang menjadi
tanggungjawab pemerintah selain dijulang dan mengaut penghormatan dan habuan?
4. Apapun yang
berlaku, seperti disebut pada awal penulisan saya bahawa tidak baik atau jahat
pada kita akan menjadi baik kepada juak-juak dan penyokong di seberang sana.
Yang jahat adalah yang menentang kemahuan dan pemikiran mereka walau seburuk
mana sekalipun tindakan tersebut. Firaun yang teramat jahat, Abu Jahal dan Abu
Lahab yang terkenal jahatnya juga mempunyai penyokong dan pendokong tegar. Jadi
apalah yang menghairankan jika sekarang juga yang melakukan kejahatan mendapat
dokongan para penjilat dan barisan Al-Kipasi Wal-Bodeki yang menjadikan
‘bodekisme’ sebagai rukun hidup mereka.
5. Hidup hanya
sementara dan sejarah adalah kitaran hidup yang sentiasa mengulangi sejarah
yang dipahat. Dulu juga manusia-manusia baik dan jahat mati dan pastinya nanti
manusia-manusia baik dan jahat yang ada sekarang juga akan mati. Biarlah
kematian itu membawa mereka ke kandang pesalah untuk menyatakan kesaksian
terhadap benar atau salah di hadapan Hakim Segala hakim. Jangan hairan, gusar dan bimbang apabila
dihidupkan di mukabumi ini untuk berdepan dengan manusia baik dan jahat. Semuanya adalah sesuatu yang normal dan tidak
normal jika hanya wujud semua manusia baik atau semua manusia jahat. Biarkan ia
mengalunkan irama dangdut Iwan ‘Yang sedang-sedang saja’. Kalau kamu takut orang akan tahu perbuatanmu
yang jelek, maka ada sesuatu yang baik di dalam yang jahat. sebaliknya, kalau
kamu ingin orang mengetahui bila kamu berbuat baik, maka ada sesuatu yang buruk
di dalam yang baik.
Wallahualam
~: sani :~

No comments:
Post a Comment