1. Alam tidak pernah bosan mengajar insan yang mahu berfikir. Dari berfikir maka akan datangnya ilmu dan hikmah yang diturunkan Maha Pencipta. Dengan berfikir manusia akan mudah bersyukur dan insaf. Itulah kehebatan alam sebagai guru. Mungkin itu sebabnya Tun Dr Ismail Mantan Timbalan Perdana Menteri Kedua yang disegani dan dihormati dalam sejarah tampil dengan banyak kata-kata yang amat bernilai sebagai panduan kepada pemimpin yang ada sekarang.
2. Dalam buku Tun Dr. Ismail - Kejora Timur Yang Mengerdip karya Thajunnisa Mohamaed Ibrahim (2004) terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, kata-kata menarik untuk difikirkan diungkap oleh Tun Dr Ismail berbunyi "Tak adil saya menolong seorang sedangkan 10 juta orang penduduk memerlukan pertolongan. Saya tidak terdaya hendak menolong semua orang, jadi saya tidak dapat menolong seseorang". Kata-kata ini diluahkannya kepada En Zawawi Setiausaha Sulit beliau sendiri yang meminta jasa baiknya untuk mendapatkan pekerjaan kepada seorang rakannya.
3. Ketegasan dan trademark beliau sebagai 'man of principle' begitu menyerlah. Namun, apakah ketika ini masih ada pemimpin yang adil dan berpendirian sebegini? Bukan saja membantu memberi pekerjaan, bahkan harta dan pangkat menjadi umpan untuk dikalungkan kepada sesiapa saja yang bertenaga dan bernafsu dalam 'mengusap' dan 'menjilat' pemimpin. Puluhan juta rakyat yang masih menanti dengan sabar untuk mendapatkan bantuan sudah tidak diambilkira dan yang penting adalah amalan KKN (Kronisma, Korupsi & Nepostima). Pemimpin jika tidak memiliki daya tahan diuji dengan kuasa, maka mudahlah terjebak dengan KKN dan 'ular lidi' serta 'ular air' menanti peluang untuk masuk daun. Harta boleh menjadikan seorang yang tamak sebagai hambanya jadi jangan dibiarkan kemerdekaan yang datang bersama-sama kita dilelong untuk menjadi hamba.
4. Pemimpin yang mudah rebah dan 'tergolek'dimamah ampu dan kipas pastinya menjadi sasaran spesis berlidah panjang. Apa yang penting kata Machiavelli adalah 'matlamat menghalalkan cara' dan apa yang dicita dapat didakap. Soal prinsip dan maruah di era sekarang sudah tidak bernilai. Yang tidak sehaluan dan tidak berdaya dalam perlumbaan menggelikan pemimpin sila keluar dari lingkaran atau koridor kuasa. Medan tempur bergelumang air liur dan sisip kipas akibat terlalu banyaknya calon-calon yang mencuba nasib untuk bergelar juara jilat dan kipas. Pada pandangan mereka tidak salah mencuba nasib kerana 'untung sabut timbul dan untung batu tenggelam'.
5. Pemimpin seperti Tun Dr Ismail semakin sukar ditemui dan jika ada hanya akan menjadi mangsa korban pengkhianatan rakan seangkatan yang bersayap dan terjelir lidah. Bagi yang berhajat mempertahankan prinsip dan maruah, kata Mahaguru Alam, "Jangan bandingkan dirimu dengan orang lain, tetapi bandinglah diri kamu dengan diri kamu sendiri" supaya kita tidak mengikut rentak paluan joget lambak dan rambong mereka yang sudah lupa akan asal-usul. Pemimpin yang baik akan memikul kesalahan dan tidak akan mengejar nama. Oleh itu, dalam memilih pemimpin ingat bahawa "kekayaan yang paling kaya ialah akal, kemiskinan yang paling besar ialah bodoh, keburukan yang paling buruk ialah terpesona pada diri sendiri, dan semulia-mulia kelakuan ialah akhlak yang baik". Jika ciri-ciri ini mampu dimiliki oleh seseorang yang berhasrat menjadi pemimpin, tidak salah untuk kita mencuba.
Wallahualam
~: sani :~

No comments:
Post a Comment