Thursday, 26 December 2013

LUPA ATAU BOHONG

As-Salam,

1. Pelajaran tentang alam datang lagi kali ini. Bagaimana besar dan azabnya alam tampil mengajar manusia sepertimana peristiwa tsunami yang berlaku 9 tahun lalu, begitu jugalah hanyutnya peringatan itu dengan kembalinya bencana itu ke dasar lautan. Manusia mudah menjadi pelupa kerana ia dianggap tidak akan singgah ke muka pintu sendiri. Musibah tidak berminat pada diri mereka dan akan hanya mendekati manusia-manusia lain yang hina dina. Mereka penuh yakin ia tidak akan menyentuh sedikitpun jasad mereka yang kebal dari segala musibah.

2. Sememangnya manusia mempunyai fitrah pelupa namun apakah alasan lupa itu perlu menjadi benteng mempertahankan segala tindak tanduk yang merugikan bangsa, agama dan tanahair? 'Sindrom 100 hari' yang sering dikaitkan dengan tindakan melupai sesuatu perkara selepas 100 hari wajar dikikir dan dicampak sejauh mungkin. Gempa bumi di Qom, Iran yang banyak mengundang belas simpati kemudiannya dilupakan begitu saja dan mangsanya terus tinggal di khemah-khemah pelarian sehingga sekian lama. Peristiwa kekejaman Israel di khemah pelarian Syatila, kekejaman tentera Serbia dan Crotia terhadap rakyat Bosnia dan pembagai lagi kezaliman dlupakan begitu saja. Alasan mudah adalah LUPA.

3. Tidak sampai seminggu lagi kita akan menyambut tahun baharu dan ia bukan perkara baharu dan luarbiasa. Setiap tahun, puluhan ribu ringgit di peringkat negeri dan mungkin mencecah ratusan ribu ringgit di peringkat pusat upacara membakar bungapi yang sinonim dengan membakar wang. Itu belum lagi ditokok-tambah dengan perbelanjaan penganjuran majlis-majlis ke arah tersebut termasuk kos membayar artis dan pentas serta sistem bunyi dan 'lighting'. Jutaan ringgit dikorbankan wang rakyat hanya untuk tempoh yang pendek tetapi sengsara rakyat umpama samudera tanpa tepi.

4. Untuk kesekian kalinya, kali ini jangan pula pemerintah lupa akan alasan mengurangkan subsidi gula dan bahanapi, kos membayar kepada IPP dalam isu tarif elektrik dan juga perjanjian konsesi dengan pihak pemegang konsesi lebuhraya yang menyebabkan kadar tol perlu dinaikkan bermula awal tahun depan. Jika alasan untuk menjimatkan wang kerajaan bagi tujuan tersebut, maka jangan pula wang yang dijimatkan itu digunakan untuk membeli bungapi untuk dibakar dan penganjuran majlis-majlis besar untuk sambutan tahun baharu. Lebih bermanfaat ia digunakan untuk membantu mangsa banjir, bantuan persekolahan rakyat sempena pembukaan sekolah awal tahun ini dan jika sudah berlebihan wang janganlah ia dibakar tetapi ditampung subsidi kepada bahan makanan asas seperti gula dan beras serta bahanapi. Semua ini akan dapat membantu menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan.

5. Ayam tidak berkokok hari tetaplah siang, bungapi tidak tidak dibakar juga tahun baharu tetap tiba. Yang penting pengisian yang dapat menjemput kemaslahatan dan bukan saja mendengar keluhan rakyat tetapi bertindak menyelesaikan masalah rakyat. Itulah fungsi pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Bukannya memilih pemimpin untuk ke sana-sini atas alasan tugas tetapi lugas, berboros sana-sini meniru SOROS. Sakit ada ubatnya, mati ada tempatnya dan lupa juga ada penyembuhnya. Kita hanya berharap agar pemerintah berpegang teguh kepada janji-janjinya yang dibuat ketika bersumpah dengan nama Allah serta Al-Quran sebaik menerima amanah tersebut termasuklah janji-janji ketika meminta jasabaik rakyat untuk diberi peluang memerintah sepenggal lagi dalam PRU13 yang lalu. Kita akur dan memaklumi bahawa tiada janji yang lebih tepat kecuali janji matahari yang akan terbit pada pagi esoknya, namun janji manusia juga jika kita ikhlas, pastinya ia akan terlaksana. Kemuncak segala dosa adalah berbohong. Dua perkara yang sentiasa mengiringi bohong adalah banyak berjanji dan banyak memberi alasan.





6. Untuk menjadi pembohong harus kuat daya ingatannya bukan pelupa. Jika sekadar ingatan yang sederhana, bagus kalau dapat jauhkan pembohongan kerana ia akan menyiksa diri kamu ketika kamu lupa apa yang telah kamu bohongi. Jujurlah kamu kerana kebebasan adalah milik mereka yang jujur. Orang yang berbohong tidak merasa bebas kerana terperangkap dengan kebohongannya. 



Wallahualam



~: sani :~

No comments:

Post a Comment