As-Salam,
1. Masa yang
terluang di sebelah pagi hari ini diambil kesempatan untuk menggunting pokok
kesinai dan menyiram pokok. Nampaknya setiap satu yang ada di sekeliling kita
pasti ada pengajaran yang tersirat di sebaliknya. Antara menggunting dan
membentuk pokok kesinai itu, pengajaran yang dapat ditimba kali ini adalah,
ranting-ranting yang tidak berguna dan sesuai dengan bentuk pokok yang dibentuk
itu, elok saja dipangkas dan dibuang. Daripada menyemak dan menyedut air tanpa
faedah malah mengganggu sistem penyuburan pokok yang dijaga itu, maka tindakan
paling sesuai adalah memangkasnya. Selain dapat menyelamatkan pokok, ia akan
bertambah cantik dan subur.
2. Dalam
kehidupan juga, apa yang mengganggu dan menjadi penumpang apatah lagi menjadi
parasit ‘wajib’ dipangkas sebelum keseluruhan sistem menyembah bumi. Jika dalam
ekonomi ianya boleh memufliskan negara jika dibiarkan dan di dalam politik juga
amat merbahaya. Ini kerana negara yang diterajui mana-mana pemimpin yang sudah ‘gelong’
atau ‘mereng’ harus dihumban keluar daripada berada dalam sistem politik yang
menjadi teras jatuh bangun sesebuah negara. Mana tidaknya, jika sebuah
kenderaan yang sudah rosak walau betapa sayangnya kita pada kenderaan itu, ia
harus diganti dan jika kasih sayang masih menebal, simpan lah saja di dalam
muzium. Dipandu untuk belok ke kanan ia ke kiri, dibelok ke kiri ia membelok ke
kanan maka pastinya terlalu berisiko untuk terus digunakan. Ia bukan saja
membahayakan nyawa dan tubuh badan pemandu, malah akan mengakibatkan keseluruhan
penumpang terhumban ke dalam gaung.
3. Kenderaan
alternatif sebagai ganti kenderaan lama tidak wajar dibandingkan atas kertas
berdasarkan ‘track-record’ kenderaan yang rosak tersebut. Selagi kenderaan lain
tidak dicuba, mustahil kita dapat mengetahui samada kenderaan baru itu lebih
teruk atau lebih bagus daripada kenderaan yang digunakan sekarang. Jika asas ‘track-record’
diguna-pakai, rasanya sampai ke lubang kubur tidak akan ada kemajuan dan
pembaharuan. Kita akan terus kekal dalam kejumudan berpunca daripada alasan
naif bahawa status-quo perlu dipertahankan. Jika dilihat dari sudut kehidupan mereka
yang enggan berubah, maka pastinya mereka akan terus tinggal di zaman batu
dengan berpakaian dan peralatan ala ‘flint stone’.
4. Harus
diingat apa yang disebut allahyarham Aminuddin Baki, “Pimpinan politik Melayu
mestilah lebih tegas berusaha agar itik di air jangan sampai mati dahaga dan
ayam di kepuk jangan sampai mati kebulur”.
Namun, apa yang berlaku sekarang sudah
menampakkan petanda ianya akan berlaku di sini walaupun tanahair masih dipimpin
Melayu yang lupa daratan seperti kata Hj Mustapha Ali yang ketika itu (Disember
1976) merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS berbunyi “… Orang Melayu yang dipimpin
senang dikawal, tetapi orang Melayu yang menjadi pemimpin sering lupa daratan”.
Pemimpin jenis ini sering lupa asal-usul dan apa yang pernah diucapkannya.
Rakyat hanya dilihat sebagai perkakas untuk diperalatkan mencapai cita-cita
peribadi dan kelompok sendiri. Sebaik cita-cita sudah berjaya digenggam, tiba
giliran untuk meraya dan berpesta dengan kejayaan peribadi sehingga masalah
rakyat tidak akan hinggap di benak dan telinga mereka.
5. Cakap
berdegar-degar memperjuangkan nasib rakyat tetapi semuanya hanyalah omongan
yang berbaur hanyir dimuntahkan dari mulut Sang Pendusta. Berdusta sudah
menjadi amalan sehingga tidak sedikit pun rasa bersalah muncul di sanubari
pemimpin jenis ini. Yang ada hanyalah jari yang menuding kepada orang lain atas
kesalahan dan kelemahan dirinya. Pemimpin jenis ini tidak mampu membezakan
penyakit yang dihidapinya samada hanya memerlukan aspirin atau aspro ataupun
memerlukan pembedahan. Penyakit serius dan kritikal tidak mungkin hanya akan
sembuh dengan aspirin sebaliknya memerlukan pembedahan. Mungkin masalah besar
dihadapi pemimpin jenis ini adalah kerana dikelilingi pengampu-pengampu yang
hanya ‘mengaminkan’ apa saja yang dikatakan oleh beliau malah menafikan
sekeras-kerasnya bahawa pemimpin itu sedang tenat diratah oleh penyakit kronik.
Bagi mereka hanyalah perlu menyebut ‘semuanya ok’ di hadapan ‘bos’ demi habuan
yang belum cukup-cukup dikaut.
6. Pada
tahun 1964, Mantan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew semasa Singapura masih berada di dalam
Malaysia berkata “kepimpinan politik Malaysia hanya akan berada di tangan orang
Melayu untuk selama 30 tahun “ daripada masa itu. Walaupun ianya sudah melepasi
sumpahan Saudara Lee, ia bukan mustahil akan berlaku jika terus dipimpin oleh
mereka yang tidak berkelayakan berada pada kedudukan yang amat memerlukan
pemimpin yang bukan saja bijak dan berani, tetapi juga ikhlas, jujur dan amanah
yang merupakan unsur paling penting buat seseorang pemimpin.
7. Profesor
Datuk Zainal Abidin Wahid Mantan Ketua Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan
Malaysia berkata “Orang Melayu dan pemimpin Melayu jangan lah mudah terpedaya
dengan sangkaan bahawa mereka telah mencapai kemajuan semenjak selepas merdeka.
Jika kita merasa bahawa orang Melayu sudah mencapai kemajuan semenjak merdeka,
maka kemajuan itu mestilah dilihat secara perbandingan dengan kemajuan yang
dinikmati oleh bukan Melayu. Jika kita merasa maju kerana dulunya berjalan kaki
dan sekarang berbasikal, maka kita janganlah lupa bahawa orang yang dahulunya
berbasikal kini sudah memandu Honda. Dan jika kita merasa maju kerana dulu naik
basikal sekarang menaiki Honda, maka janganlah kita lupa bahawa yang dahulunya
menaiki Honda kini bersila panggung di dalam Mercedes-Benz”. Apa yanag berlaku sekarang adalah pemimpin
dan juak-juak yang ada seolah-olah ‘syok sendiri’ dan menganggap mereka sudah
berjaya meletakkan bangsa Melayu pada landasan yang betul dan sedang menuju
matlamat sebagai bangsa berjaya. Sebaliknya jika angka-angka yang tidak
dimanipulasikan dengan jelas menunjukkan bangsa Melayu jauh ketinggalan dari
berbagai sudut samada ekonomi, pendidikan dan politik itu sendiri.
8. Ingat akan
pesan Khalifah Umar al-Khattab bahawa “ Jangan engkau percaya melihat kegagahan
seorang lelaki. Tetapi jika mereka teguh memegang amanah dan menahan tangannya
daripada menganiayai sesamanya, itulah lelaki yang sebenarnya “. Banyak yang
mengaku lelaki tetapi tingkah-laku dan tindak-tanduk mencerminkan kelelakian
telah hilang diinjak-injak oleh wanita yang menjadi lelaki terhadap lelaki yang
sudah mentransformasikan diri menjadi wanita. Oleh itu, pilihan di tangan kita maka pilihlah
pemimpin yang jujur, Ikhlas dan amanah serta tidak bermuka-muka terhadap
rakyat. Jika kesilapan telah dilakukan, jangan ianya berulang lagi kerana
kesilapan sama buat kali kedua bukanlah kesilapan sebaliknya adalah pilihan.
Wallahualam
~: sani :~

No comments:
Post a Comment