Monday, 23 December 2013

BAHAYA KEKUASAAN

As-Salam,

1.         Alam tidak pernah berhenti menjadi guru kepada manusia kecuali yang bebal dan sombong dengan merasakan diri serba tahu dan tidak lagi memerlukan titisan rahmat nur Ilahi. Ikan mungkin lemah di daratan tetapi begitu hebat dan tangkas di dalam air. Singa dan harimau menjadi raja di hutan belantara tetapi di dalam air pula rajanya adalah ‘hantu air’. Tidak semua manusia boleh menjadi ‘Badang’ lantaran kehebatan akal lebih berkuasa daripada ‘otot’.

2.     Sesungguhnya Allah swt itu maha adil dan saksama. Kekuatan, kehebatan dan kepintaran yang diberi kepada manusia itu sama jumlahnya. Janganlah kita bersangka buruk kepada Allah terhadap apa yang kita miliki. Yang berbeza itu datangnya daripada manusia sendiri. Kekuatan yang dianugerahkan Allah kepada manusia itu sama jumlahnya kecuali agihannya ditentukan oleh manusia samada kuat mengampu atau kuat mempertahankan prinsip dan maruah. Kehebatan yang dikurniakan Allah kepada manusia juga sama kuantiti serta kualitinya tetapi samada digunakan untuk membela dan mempertahankan rakyat atau menindas mereka. Kepintaran yang diberikan kepada setiap manusia juga pasti sama kerana Allah tidak menganiaya makhluk ciptaannya tetapi samada ianya digunakan untuk menipu atau membalas penipuan. Minda manusia begitu selektif mengikut kemahuan dan selera masing-masing dan hasilnya juga berbeza mengikut pilihan mereka.


3.         S. Abul A’La Maududi dalam monografnya bertajuk ‘Jatuh Bangun Sesuatu Bangsa’ yang diterbitkan pada tahun 1987 oleh Pustaka Ikhwan, Alor Star melontarkan beberapa persoalan yang berkaitan dengan apa yang disebutkan di atas. Soalnya, “Berapa orang yang mendapat gaji dan upah darikerja seharian mereka telah bekerja dengan jujur dan ikhlas? Berapa ramai pegawai kerajaan dan kakitangan awam yang bebas dari kecurangan, penggelapan wang, pengabaian tugas, penyalahgunaan kuasa, kekejaman dan menyebabkan penderitaan orang lain? Berapa ramai peguam, doktor, hakim, pemberita, penerbit dan penulis merasa malu bila mereka menggunakan cara yang hina untuk mendapatkan kepentingan diri dan menimpakan kerosakan moral, mental, fizikal dan kewangan hamba Allah yang lain?”  Tambahnya lagi, “Apedemik ini tidak mengecualikan sesiapa – Hindu, Sikh, Harijan atau Muslim, semuanya diserang tanpa sebarang perbezaan.” Penyakit ini bukan saja menimpa kelompok yang disebut ini saja bahkan menjangkiti para manusia yang digelar ulama’ selagi mulut dan hati mereka begitu bernafsu dan serakah terhadap habuan berbentuk harta, pangkat, jawatan dan kuasa, maka selagi itulah penyakit ini akan terus menyerang tanpa memilih mangsanya. Yang kuat akan memangsakan yang lemah dan yang pintar akan memperbodohkan yang bodoh. Namun, yang diperbodohkan itu mungkin bodoh dari satu segi tetapi segi lain mampu memperbodohkan yang menjadikannya kelihatan bodoh.Begitu juga dengan yang kuat itu tadi mungkin akan dilemahkan pula oleh mangsanya yang telah dilemahkan pada satu keadaan yang lemah itu kuat dan yang kuat itu lemah.

4.         Negara akan hancur apabila ditadbir dan diperintah oleh manusia-manusia yang memilih jalan yang tidak benar iaitu dengan merosak lebih dari membina yang membawa mereka tenggelam dalam keruntuhan nilai kemanusiaan. Mereka memilih untuk bergalang-ganti antara kebaikan dengan kehancuran dan mereka menggadaikan keadilan dengan penindasan sehingga melupai tugas negara dan sebaliknya menumpukan pencarian kekayaan dengan jalan yang salah. Saya amat tertarik dengan ungkapan S. Abul A’La Maududi dalam monograf yang sama berbunyi “Jika mustahil untuk manusia bernafas melalui mata sebagaimana mustahilnya mata berfungsi sebagai perut, maka begitu jugalah mustahilnya sebuah negara yang menggunakan perundangan yang menjanjikan kehancuran akan maju membangun.”

5.         ‘Mandat dari langit’ tidak akan sesekali membiarkan mereka yang dizalimi tanpa pembelaan jika mereka berdoa kepada Maha Penciptanya. Tiada hijab antara yang dizalimi dengan Allah swt sekiranya mereka berdoa memohon pertolongan dan jika jutaan rakyat yang mendoakan perkara yang sama, antara lambat dan cepat saja akan menentukan ianya dimakbulkan. Ini bukan ugutan, tetapi janji Allah swt yang wajib diyakini oleh seluruh umat Islam sekiranya mereka masih tidak tergelincir daripada landasan akidah seorang Muslim. Setiap pemimpin harus ingat, seperti kata Qasim Ahmad dalam makalahnya berjudul ‘Kekerasan Dalam Sejarah – Masyarakat dan Pemerintah’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993) berbunyi “Walaupun kuasa memerlukan kekerasan, kekerasan pula tidak dapat dijadikan ganti kepada kuasa. Pemerintah yang terpaksa bergantung pada kekerasan untuk mengekalkan kuasanya, boleh dikatakan sudah hilang kekuasaannya atau kesahan kuasanya.” Oleh yang demikian, berpada-padalah setiap manusia yang telah dimandatkan kuasa oleh rakyat kerana tugas pemerintah adalah melayani karenah rakyat dengan adil, jujur dan  amanah dan tidak sesekali dikalungkan cemeti untuk membelasah rakyat.

6.         Sememangnya kata-kata Edmund Burke tokoh politik terkenal British pada abad ke 18 begitu hampir dengan apa yang berlaku sepanjang zaman, “Semakin besar sesuatu kuasa, semakin besar bahaya penyalahgunaannya.” Rakyat yang mengupah pemimpin untuk berada pada kedudukan di atas tidak wajar direndah-rendahkan hanya kerana mereka di bawah. Pucuk pokok berada di atas kerana menumpang ihsan pohon dan akar di bawah. Tanpa akar dan pohon, pucuk tidak mungkin berada di situ. Air yang disedut ke atas datangnya dari bawah dan mati akar maka matilah pucuk. Oleh kerana itulah bagi meneruskan hayat pokok, yang disiram itu perlu disasarkan pada akar bukannya pucuk. Pucuk hanyalah penumpang dan jangan pula penumpang lupa diri sehingga akar memilih untuk merajuk dan membiarkan pucuk menjadi layu. Analogi ini perlu hinggap dan berakar dalam minda setiap pemimpin yang berhajat untuk terus berada di kedudukan yang dicintainya. Jangan sampai berat mahkota kekuasaan itu menjadi punca muka tersembam ke bumi. Tiadalah gunanya “mutiara terkalung di leher babi” yang bermaksud orang yang mulia telah jatuh martabatnya. Pemimpin juga harus sedar bahawa “seekor ayam tak berkokok, apakah hari tidak akan siang?




Wallahualam

~: sani :~


No comments:

Post a Comment