Wednesday, 18 December 2013

Jika Rakyat Diutamakan

As-Salam,

1.         Mengimbas kembali kemenangan Mesir dalam Perang Yom Kippur ke atas Israel, Mantan Presiden Mesir Anwar Sadat (1918-1981), telah mememulakan usaha damai dengan Negara Yahudi itu dengan mengajak Israel ke meja rundingan. Beliau kemudiannya menyampaikan ucapan dalam parlimen Israel (Knesset) pada 20 November 1977. Antara yang menarik dalam ucapannya itu berbunyi,  “… tiada sesiapa berhak membina kebahagiaan di atas kesengsaraan orang lain. … saya tidak pernah berbicara, dan tidak akan berbicara, dengan lidah bercabang; saya tidak pernah memakai, dan tidak akan pernah memakai, dua dasar. Saya tidak pernah berurusan dengan sesiapa kecuali dengan satu lidah, satu dasar dan satu wajah.” Tambahnya lagi untuk melengkapkan keindahan ucapannya, Anwar Sadat berkata “Sesuatu yang tidak kena jika anda menuntut buat diri anda suatu benda yang anda nafikan buat orang lain”.

2.         Alangkah merdunya bunyi seruling dari lidah dan tenggorok Anwar Sadat sekiranya dialunkan di negara ini oleh para pemimpin di sini dan paling penting ditunaikan tanpa madah dan helah. Politik Anwar Sadat sememangnya hebat tetapi berakhir dengan tragis apabila menjadi mangsa pembunuhan oleh rakyatnya sendiri dalam satu perbarisan tentera pada tahun 1981. Ia didakwa berpunca daripada tindakan Anwar Sadat memeterai Perjanjian Damai yang dibuat di Kem David dan ia menyebabkan dunia Arab begitu marah kepada beliau.

3.         Memetik kata-kata beliau bahawa “tiada sesiapa berhak membina kebahagiaan di atas kesengsaraan orang lain” membuat kita membandingkan betapa bukan seorang, dua orang atau tiga, tetapi jutaan rakyat terhimpit dan sengsara dalam situasi ekonomi negara yang kian meruncing sedangkan di atas sana mereka sedang dan terus membina kebahagiaan tanpa rasa bersalah. Selepas satu, satu lagi menu kesengsaraan dihidangkan kepada rakyat sehingga termuntah-muntah disumbat tanpa belas kasihan. Mulut berkata prihatin terhadap rakyat tetapi tangan dan kaki melenting-lenting membidas muka rakyat dengan bahana yang entah bila akan menemui noktah. Bermula dengan kenaikan harga minyak, penghapusan subsidi gula, pengenalan cukai GST yang bermula pada 2015, kenaikan tarif letrik sebanyak 15 peratus dan kini kenaikan juga bakal dikenakan kepada tambang LRT dan monorail serta kadar tol di beberapa lebuhraya.

4.         Mana justifikasi yang dapat diterima oleh rakyat seperti disebut Anwar Sadat, “Sesuatu yang tidak kena jika anda menuntut buat diri anda suatu benda yang anda nafikan buat orang lain”? Rakyat diminta berjimat sedangkan yang meminta dan bergelar pemimpin terus boros. Jika benar keadaan ekonomi negara sedang parah, kenapa perlu diganti kereta-kereta pegawai kerajaan dengan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan? Apakah semuanya itu disedekahkan oleh Syarikat Proton kepada kerajaan? Kenapa perlu melakukan itu dan ini yang memperlihatkan betapa yang kaya dibiarkan terus kaya dan yang miskin bergelumang kepayahan meneruskan sisa-sisa kehidupan bersama keluarga yang begitu mengharapkan ada lohong cahaya buat mereka.



5.         Kata Mantan Presiden Mesir itu lagi, “saya tidak pernah berbicara, dan tidak akan berbicara, dengan lidah bercabang; saya tidak pernah memakai, dan tidak akan pernah memakai, dua dasar. Saya tidak pernah berurusan dengan sesiapa kecuali dengan satu lidah, satu dasar dan satu wajah”. Jika sebelum pilihanraya rakyat dijanjikan dengan bulan dan bintang untuk membantu mereka, namun selepas pilihanraya apa yang berlaku? Satu persatu beban yang ditimpakan ke atas rakyat sehingga ada yang sudah tidak dapat membezakan antara menuju masa depan dan berundur ke belakang. Lidah bercabang berpada-pada jangan sampai membelit diri sendiri. Bermuka-muka juga ada batasnya, jangan sampai di depan kaum Cina begini, Kaum India begini dan bangsa sendiri entah apa yang perlu di’kelentong’ lagi.

6.         Berani berboros maka perlu berani memikul bebannya. Ia tidak wajar dihempas ke muka rakyat yang tidak bersalah. Sebaik rakyat mengeluh dan merungut, maka jawapan Pak Menteri yang menjengkelkan setiap yang mendengar akan berkumandang dan hanya yang kurang siuman tak sabar mendengar kata-kata sedemikian rupa.

7.         Boleh jika kita terlalu ghairah untuk berpolitik kerana politik Islam itu amat murni dan digunapakai oleh para Nabi dan Rasul termasuk para sahabat Nabi. Yang bahaya adalah terlalu banyak politiking sehingga kepentingan rakyat diketepikan. Jauhkan sikap menyalahkan sana-sini. Semuanya tak mampu selesaikan kemelut yang dihadapi rakyat. Bersatulah kita tanpa syarat dan tanpa mengira fahaman politik, agama, budaya dan bangsa. Jangan pula mulut berkata bersatu, tetapi di rumah hasut anak bini, kaum kerabat, orang bawahan dan pengikut serta ahli membenci kaum itu dan kaum ini, parti itu dan ini.  Cakap berdegar-degar minta rakyat bersatu tetapi dalam parti masing-masing bercakap soal kepentingan bangsa sendiri dan minta boikot itu dan ini. Tidak kiralah samada DAP, PKR, PAS, UMNO, MIC, MCA, PGRM, MCA dan semua parti politik yang ada di Malaysia ini, semuanya mengamalkan pendekatan sama iaitu cakap tidak serupa bikin. Yang berbeza hanyalah tahap putaran kata-kata samada perlahan, laju atau terlalu laju. Cakap jangan tidak serupa bikin dan hanya menyalahkan rakyat serta mereka yang tak senada dengan kita. Tiada ombak tanpa angin dan tidak berlagu tanpa melodi. Jika hanya sekadar menuding jari, si-buta juga dapat menuding jari kerana jarinya tidak buta, si-bisu juga mampu menuding jari kerana jarinya tidak bisu termasuklah yang pekak kerana jarinya tidak pekak.

8.         Cuba kita renungkan di sekeliling kita dan pelajarilah dari alam. Sekejam mana sekalipun manusia itu, tidak pula ia bakhil untuk menganugerahkan manusia dengan oksigen serta segala keperluan manusia. Tetapi manusia sebaliknya terlalu kejam sesama manusia walaupun yang dimangsakan itu tidak melakukan kesalahan terhadap mereka.

Wallahualam

~: sani :~


No comments:

Post a Comment