Tuesday, 10 December 2013

Racun Tikus

Salam, 

1.  Tiba-tiba saja aku teringat cerita tentang tikus yang sering menimbulkan masalah pada manusia. Manusia sering berdepan dengan masalah tikus sehingga terpaksa memikirkan bagaimana caranya untuk menghapuskan mereka. Jalan mudah adalah dengan menggunakan racun tikus terhadap spesis haiwan ini. Tetapi jika kita benar-benar berhasrat untuk membunuh tikus-tikus yang mendatangkan masalah kepada manusia, maka tikuslah yang sepatutnya diberikan racun tersebut. Jangan sampai tikus yang nak dibunuh dan dihapuskan tetapi kita pula yang meneguk racun tikus. Jika itu berlaku, yang mati bukannnya tikus sebaliknya kita yang menempah keranda dan meninggalkan alam yang fana berserta tikus-tikus untuk terus bermaharajalela. 


2.  Itulah pelajaran yang dianugerahkan alam untuk kita jika tidak berhati-hati mendepani masalah tikus. Dalam kehidupan ini, pengajaran yang boleh diambil dari kisah tikus ini menunjukkan bahawa banyak juga manusia yang mengamal dan memiliki sifat seperti tikus-tikus ini serta menjadikan pendekatan tikus sebagai senjata untuk memenuhi nafsu serakah merka. Hidup mereka hanya memikirkan bagaimana untuk memusnahkan harta-benda, masa depan orang lain dan paling mudah disebut 'khianat'. Kita harus mahir menguasai fikiran serta pintar mengedalikan akal tanpa membiarkan perasaan geram dan marah menjadi raja. Jika itu yang berlaku, akhirnya kita yang menjadi mangsa sepertimana analogi tikus ini. Hajat membunuh tikus tetapi angkara gagal menguasai perasaan, kita pula yang meneguk racun tikus. Apa yang sepatutnya kita lakukan adalah dengan mengumpan mereka untuk masuk perangkap agar menghabiskan racun tikus yang disediakan untuk mereka. Malangnya kita menjadi mangsa racun tikus hasil sediaan kita sendiri. Kata Aristotle, yang meninggikan darjat seseorang adalah akal dan adabnya, bukan asal keturunannya. Oleh itu, manfaatkannya sebaik mungkin agar pengkhianat mendapat balasan setimpal dan kita bersama insan-insan lain dapat hidup aman damai tanpa manusia-manusia tikus yang tidak pernah putus-asa untuk memusnahkan kehidupan manusia selagi mereka bernafas. 


3.  Hidup tidak mudah untuk melepaskan diri daripada dugaan dan ujian dari Maha Pencipta. Kerana ianya adalah sebahagian dari rahmat Allah untuk meningkatkan darjat manusiawi serta saluran untuk turunnya pahala dan dosa kepada manusia. Namun demikian, kita akan menyesal sekiranya manusia-manusia tikus yang jahat dan pengkhianat terus menerus hidup untuk memusnahkan kehidupan orang lain sedangkan kita terbujur kaku menjadi mangsa 'racun tikus' hasil tangan kita sendiri. 


4.  Lakukan sesuatu dengan kaedah yang betul. Jika tikus yang mahu dibunuh, yang layak untuk diberikan racun tikus adalah tikus dan bukan kita. Begitulah analoginya jika manusia dengan sifat tikus-tikus liar ini juga wajar diracun sekiranya tindak-tanduk mereka dilihat menghancurkan kehidupan orang lain. Dengan cara kita meminum racun, tikus tidak mati dan yang mati adalah kita sendiri. Racun Tikus di tangan kita, terpulang samada ia akan ke depan atau ke belakang. Tikus tetaplah tikus.


Wallahualam


~: sani :~

No comments:

Post a Comment