Monday, 16 December 2013

Tembakau Oh Tembakau

As-Salam,

1.            Awal oktober tahun ini kerajaan mengumumkan kenaikan harga rokok di Malaysia sehingga 14%. Di kalangan penghisap rokok, ramai yang cuba menghilangkan ketagih rokok dengan beralih kepada ‘rokok daun’ bersalut tembakau. Namun, kelegaan mereka hanyalah sementara apabila bermula 1 Januari 2014, tembakau jawa (paya kumbuh) akan dinaikkan cukai sebanyak RM50.00/kg atau RM2.00 setahil.  Apa saja yang boleh dinaikkan pasti dinaikkan kecuali hujan nampaknya.  Bagi yang mencari nafkah menjual tembakau pastinya resah teramat sangat kerana bukan senang berdepan dengan pelanggan yang asyik tawar-menawar dengan harga yang ada sekarang, inikan pula apabila cukai dinaikkan. Nampaknya bukan lagi tawar-menawar tetapi ‘pahit-memahit’ la nampaknya. Orang kampung yang terkenal dengan budaya ‘gulung’ rokok daun dengan tembakau juga akan mengeluh panjang dan agaknya panjang keluhan dari Perlis sampai ke Tambak Johor selepas ini. Itu belum lagi diambil kira kenaikan harga bahanapi, gula dan tarif elektrik awal tahun yang hanya beberapa hari lagi.

2.            Bayangkan harga motosikal Honda PCX150 dibeli tunai dengan harga RM10,500 di negara ini  hanya dijual di Thailand (sebelah saja) dengan harga RM7,500. Cukai impot dengan beza RM3,000 itu jika digunakan untuk mengisi petrol walaupun harga di Thailand lebih dari negara ini masih dapat bertahan sehingga hancur motosikal itu. Cukai impot untuk kenderaan kereta dan lain-lain pasti mencecah puluhan ribu ringgit. Perbandingan harga petrol dan diesel dengan negara jiran ini nampaknya tidak wajar dilakukan kerana perbezaan cukai impot yang begitu besar dan tidak ada bayaran tol yang dikenakan di Thailand. Tetapi, jika bersuara pasti ada pecacai yang akan bingkas bangun menjerit untuk ‘menghambat’ sesiapa saja yang bersuara yang  tidak senada dengan mereka dan ‘tuan-tuan’ kesayangan mereka.

3.            Saya tertarik dengan komen-komen Tun M dalam blognya bertajuk ‘Kebebasan Bersuara, Pengangguran di Britain’ bertarikh 27 Februari 2009. “Tidak ada kebebasan bersuara di Eropah jika ia melibatkan kritik terhadap Yahudi. Jika sesiapa mengkritik Yahudi maka mereka akan dilabel oleh media sebagai ‘ganti-semitic’” .  Apakah kita juga turut diletakkan pada suasana yang sama seperti di Eropah yang tidak boleh bersuara walaupun ianya begitu menyulitkan hidup rakyat?

4.            Kita tidak perlu dihidangkan dengan angka-angka yang mengelirukan rakyat dan tidak difahami betapa angka-angka tersebut tidak mampu mengubah tahap kehidupan mereka. Pendapatan perkapita di negara kita juga sama seperti di negara luar. Seperti kata Tun M dalam artikel sama dan blog sama, berbunyi, “Sebenarnya pendapatan perkapita yang mereka banggakan dahulu tidak mencerminkan kekayaan mereka yang sebenar. Kekayaan mereka dahulu adalah hasil penipuan oleh pemain pasaran wang. Perkiraan purata mereka tidak memberi gambaran yang benar. Oleh kerana terdapat bilangan yang kaya yang begitu ramai maka perkiraan purata (average) per kapita mereka meningkat. Ini dapat kita lihat apabila seorang daripada seribu orang menjadi jutawan dan 999 menganggur, jika diambil pendapatan purata bagi 1,000 orang ini, pendapatan tiap seorang daripada mereka ialah seribu Dollar. Jelas yang angka per kapita yang disebut tadi menyembunyi pendapatan yang amat rendah bagi majoriti rakyat negara yang dikatakan kaya ini. Apatah lagi dengan billionaire yang begitu ramai di negara kaya. Sekarang orang yang kaya sudah tidak kaya lagi. Justeru itu pendapatan per kapita negara kaya ini akan jatuh dengan teruk.”. Yang kaya adalah mereka yang berada dalam senarai manusia-manusia yang kaya di negara ini. Kenapa tidak disenaraikan mereka yang termiskin dalam majalah yang boleh dibaca dan dihadam oleh rakyat?

5.            Di Malaysia, jika ukuran pendapatan perkapita yang diambil kira, rasanya sukar melihat rakyat yang miskin dan menderita hidup dihimpit inflasi yang semakin meningkat dan pendapatan menjadi semakin kecil. Jika ada yang berkata, rakyat perlu berkorban untuk negara jika berniat baik untuk membantu kerajaan. Apakah kerajaan yang sepatutnya membantu rakyat melakukan perkara yang sama? BR1M bukan jawapan sebenar dan janganlah ia dimanipulasikan hanya untuk memenuhi kertas jawapan dalam peperiksaan yang dirangka soalan dan jawapan oleh orang yang sama.  Kita bersuara bukan untuk orang yang bersuara tetapi untuk semua. Yang menafikan hanyalah di kalangan mereka yang mendapat habuan dan ada kepentingan samada secara langsung atau sebaliknya daripada pelakon komedi yang menjadi johan lawak bodoh.

6.            Kata H. Jackson Brown, Jr. , “Pemimpin mencapai kejayaan melalui cara bagaimana dia melayan orang lain, bukan dengan mengorbankan orang lain.” Jika kita berhajat agar rakyat melayan pemimpin dengan baik, amat wajar pemimpin melayan rakyat sesuai dengan kedudukan sebagai pemimpin bukan sebagai ‘budak nakal’ yang tidak tahu menghargai pengorbanan rakyat.

7.            Mari kita belajar dari alam, “semakin berisi semakin merunduk” resmi padi dan “ular tidak akan hilang bisanya walaupun menyusur akar”.



Wallahualam

~: sani:~


No comments:

Post a Comment