1. Nasihat menasihati itu sememangnya suatu perkara yang digalakkan samada dari sudut agama mahupun moral. Namun demikian, nasihat yang datangnya daripada penasihat yang jahat dan tidak layak berada pada kedudukan sebagai penasihat wajar dijauhkan. Penasihat yang ada pada ketika ini dilihat kebanyakannya berada pada kedudukan sebagai pengkhianat berbanding sebagai penasihat. Mengkhianati rakyat dengan memberi idea-idea jahat untuk mengekalkan kuasa walaupun ianya tidak mendatangkan kebaikan samada di pihak yang berkuasa mahupun rakyat. Mereka tidak menasihati yang berkuasa agar menunaikan amanah dengan jujur dan ikhlas kepada rakyat. Sebaliknya mereka hanya mencari helah dan idea bagaimana untuk terus dapat bergantung di bawah payung kekuasaan agar mereka terus mendapat peluang membuncitkan perut dan kantung. Nasib rakyat yang tersepit antara kesengsaraan hidup dan kantung yang mengempis hanyalah dilihat sebagai lumrah kehidupan yang bergelar rakyat biasa.Malah ianya dianggap itulah harga yang perlu dibayar sebagai rakyat kepada pemerintah.
2. Penasihat yang ada ketika ini seolah-olah menjadi dalang yang menasihati suami isteri bermasalah dengan dinasihatkan agar menggunakan khidmat bomoh untuk meletakkan 'nasi kangkang' agar si suami tunduk mendengar kata-kata si isteri walaupun ianya menangkul dosa yang tidak tertanggung besarnya. 'Mandrem' diutamakan dan janji dengan 'penasihat' perlu ditepati. Seharusnya, si isteri dinasihati agar taat kepada suami berdasarkan hukum agama. Namun apa yang berlaku adalah, kaedah kufur dan syirik digunakan sehingga bagi mereka 'matlamat lah yang menghalalkan cara' dan halal haram biar saja iblis yang berurusan dengan malaikat.
3. Oleh kerana itu, dalam satu majlis besar satu ketika dulu, seorang mufti pernah membaca doa agar pemimpin-pemimpin dijauhkan dari penasihat-penasihat yang jahat. Ramai pemimpin termasuk pemimpin besar hadir tetapi adakah mereka mengambil itu sebagai nasihat ulamak kepada umarak? Atau hanya menjadi halwa telinga untuk tidur sementara menanti majlis selesai? Memang benar kata pendita, seekor unta yang dilahirkan di Tanah Suci Mekah tetaplah unta bukannya ulama' atau penasihat. Seekor keldai walaupun menimbun kitab-kitab suci dan buku-buku terhebat di pundaknya tetaplah keldai. Lembu disarungkan topeng Einstein tetaplah lembu dan tidak akan bertukar menjadi insan yang pintar.
4. Oleh yang demikian, wajar kita sebagai manusia untuk mempelajari bagaimana membezakan antara penasihat, pengkhianat, keldai, unta dan lembu agar tidak terjerumus ke dalam 'telaga buruk' bersama-sama haiwan yang terkenal dengan kedunguan dan juga pengkhianat.
Wallahualam
~: sani :~
No comments:
Post a Comment