Salam,
1. Yang dinamakan makhluk itu termasuklah segala isi bumi dan langit tanpa mengira samada yang tampaknya hidup atau mati kerana semuanya hidup dan menjadi hamba kepada Maha Pencipta. Ianya termasuklah anjing dan bukit yang dapat kita berguru pada mereka tanpa hadir di hadapan bersimpuh sambil membawa pulut kuning dan memakai pakaian khas seperti persilatan. Itulah perguruan alam yang datang secara percuma buat yang bijak menggunakan ‘akal’.
2. Peribahasa 'anjing menyalak bukit' didatangkan oleh pendahulu kita yang kaya dengan analogi dan kiasan membawa jutaan tafsir dan yang pasti takkan runtuh bukit itu kerana ia hanya kerja yang sia-sia. Manusia tidak perlu meng'anjing'kan diri dan terpaksa menyalak tanpa mengenal erti salakan dan matlamatnya. Dari alam kita belajar dan jangan dipersiakan hikmah di sebalik kisah anjing menyalak bukit ini.
3. Kisah Edward Snowden (ES) bukanlah sesuatu baru kerana sebelum ini juga beberapa orang ‘mole’ dalam organisasi perisikan telah menelanjangkan banyak ceritera. Jika ada yang terkejut dengan pendedahan oleh beliau, maka itulah sebenarnya pem'bogel'an diri sehingga mendedahkan segala kelemahan yang ada pada kita. Saya amat tertarik dengan nukilan Datuk Kadir Jasin (DKJ) dalam blognya semalam (28/12/13) bertajuk Crying Wolf Over Spying. Menurut DKJ, beliau langsung tidak terperanjat dengan apa yang didedahkan oleh ES kerana menurutnya, adalah menjadi perkara biasa samada negara besar atau kecil mengintip antara satu sama lain. Saya juga walaupun tidak bergelar Datuk dan terkenal memilih sisi yang sama terhadap isu ini. Betapa di kampung dan tempat tinggal kita sejak zaman berzaman sudah berlaku kegiatan pengintipan seperti ini. Dari perkataan ‘mengendap’, mengintai sehinggalah sekarang banyak yang menggunakan perkataan ‘skodeng’ terus menerus berlaku. Yang harus digodam bukanlah kaki skodeng, tetapi salahkan diri yang tidak cukup bersedia dan berhati-hati dalam usaha sekatan terhadap pelaku ‘skodeng’. Jika ki
4. Menjerit
di sana-sini tentang perskodengan hanya menampakkan kejahilan mutlak kerana
ianya sesuatu yang lumrah. Oleh kerana itulah Perdana Menteri Australia Tony Abbott
enggan meminta maaf setelah Australia didakwa menjalankan kegiatan pengintipan
terhadap Indonesia. Kerana dia menganggap menjadi tanggungjawabnya
mempertahankan organisasi perisikan negaranya dari dihina dan dicerca tanpa
pembelaan. Itulah ciri-ciri pemimpin yang diharapkan oleh setiap yang dipimpin.
Bukannya hanya berdondang sayang ketika agensi perisikan negaranya dipuji dan
dilambung tetapi juga mempertahankan mereka ketika ditekan dan dijadikan
sasaran. Ramai di kalangan pemimpin yang hanya berharap untuk mengutip hasil
pujian tetapi akan sama-sama menindas dan menekan orang bawahan ketika berdepan
masalah. Pemimpin jenis apa yang hidup ketika ini?
5. Serigala
jika dibiarkan berdamping dengan kambing apa yang kita harapkan keputusannya?
Apa yang wajar dilakukan adalah menghalang serigala dari mendekati dan membaham
kambing. Jika kita hanya asyik menyalahkan serigala tetapi pada masa yang sama
membiarkan kambing berkeliaran siang dan malam tanpa jagaan sewajarnya, bukan
hanya serigala, serigila dan serigula pun terpikat untuk memangsakan kambing.
6. Kita tidak
memihak kepada Singapura mahupun Australia dan US, tetapi dengan menyalahkan
mereka dalam kegiatan pengintipan bermakna kita seolah-olah tidak arif tentang
dasar pertahanan dan sistem kawalan keselamatan negara-negara terbabit. “Sebusuk-busuk
telunjuk, telunjuk juga pencolek tahi mata.” Jangan sampai satu ketika kita
tergolek, yang dianggap musuh pula kita sembah. Singapura sudah sememangnya
diketahui umum menggunakan khidmat nasihat dan doktrin pertahanan Israel serta
berbagai kemudahan pertahanan Amerika Kecil dan Amerika Besar sehingga digelar
sebagai Israel Asia Tenggara. Apakah kita hanya perlu mendepang tangan berdoa
agar kita bernasib baik tidak diintip oleh negara jiran ini? Kemahiran
berpolitik selama ini seharusnya banyak menjadi modal menambah kematangan pihak
kita. Seperti kata Mao Tse Tung, “politik adalah perang tanpa darah, manakala
peperangan adalah politik yang berdarah”. Elakkan darah dan jauhkan peperangan.
7. Setiap
negara juga melakukan perkara sama termasuk diri kita sebaik peluang berada di
depan mata. Yang membezakannya hanyalah peluang dan keupayaan. Jika kita tidak
ada peluang maka cipta lah peluang itu dan jika tidak memiliki keupayaan,
binalah keupayaan itu hatta terpaksa menelan ‘pil tongkat ali’ sebotol setiap
kali selepas makan. Kata DKJ “In fact, we are a fool if we don’t do the same.
Every nation spies on its neighbour. The difference is a good spy does not get
caught.”
Wallahualam
~: sani :~
29/11/13 @1740hrs

No comments:
Post a Comment