Salam,
1. Alam ini jika direnung dan diperhatikan isi kandungnya, pelbagai makhluk termasuk haiwan dicipta oleh Maha Pencipta sesuai dengan fitrah masing-masing. Ada yang dicipta sebagai pemangsa dan ada pula menjadi mangsa. Fitrah penciptaan mereka tidaklah menjadikan ia sebagai ketidakadilan Ilahi melainkan hikmah yg terkandung didalamnya jutaan pengajaran dan ilmu sehingga tak terjangkau dek fikiran manusia walau segenius mana sekali manusia itu. Namun, itu tidak bererti mangsa harus dibiarkan tanpa perlindungan daripada diratah dengan mudah oleh pemangsa. Sama seperti fitrah perogol tidak boleh dibiarkan merogol sesuka hati atas alasan 'Hak Asasi Manusia' (HAM). Sekiranya pemangsa berada di hadapan mangsa dan bersiap-siaga menerkam dan membaham mangsa, apakah kita hanya perlu berdiam diri memeluk tubuh melihat kengerian mangsa dirobek-robek oleh pemangsa bermain di mata kita?
2. Di dalam kehidupan kita hari ini, yang kuat menjadikan 'hukum rimba' sebagai peraturan sehingga yang lemah hidup ketakutan, dilingkungi kebimbangan tanpa pembelaan kerana kekuatan sebenar ketika ini adalah wang, harta, pangkat, jawatan dan kuasa. Yang berkuasa walaupun melepaskan angin berbau bangkai tetaplah disanjung terkinja-kinja oleh para penyokong dan pengkagum atas nama membela bangsa, agama dan tanahair. Hidung tersumbat, mata telah menjadi buta dan telinga semena-mena menjadi tuli berpunca daripada ketaksuban dan lelehan habuan yang dinanti-nanti untuk dijilat.
3. Marhaen atau di tanah seberang dipanggil 'wong cilik' tidak tahu arah mana harus dituju kerana apa saja masalah yang muncul dalam kehidupan mereka dianggap tidak membebankan sedangkan setiap kali ianya dirujuk, maka padang bola seluas lautan ditendang ke sana sini. No Wrong Door Policy hanyalah kata-kata manis atau di Thailand di sebut Park Wan bermasud cakap manis sahaja. Apa yang berlaku ini sebenarnya menyerupai analogi membiarkan serigala menjaga kambing. Habis sekandang diterkam lagi kandang yang lain. Sampai bila keadaan ini harus dibiarkan. Retorik sudah buncit ditelan rakyat sehingga seakan-akan busung yang begitu sakit semakin lama disimpan. Apakah wajar dibiarkan serigala menjaga kambing sepertimana manusia-manusia rakus membaham manusia lain? Lihat saja operator-operator perkhidmatan telekomunikasi, syarikat-syarikat gergasi utiliti seperti pembekal elektrik, TV swasta Astro dan seluruh perkhimatan dan barangan bersifat monopoli yang membaham rakyat sehingga rapat ke dinding. Di manakah kebertanggungjawaban pihak berkuasa samada kementerian ataupun individu yg pecah anak tekak menjerit menjadi pembela rakyat?
4. Hadirlah wahai manusia-manusia yang diamanahkan rakyat untuk membela mereka. Tugas membela rakyat bukanlah sesuatu yang hadir bermusim. Teguran dan kritikan rakyat jadikan sebagai asas 'transformasi' dan tradisi membela rakyat. Jangan pula setiap kali teguran dan kritikan dihantar, peluru berpandu pula yang dibalas. Rasa sedih diluahkan, sebaliknya maki hamun yang diterima. Kuasa yang ada dan keistimewaan yang dibahukan itu adalah amanah Allah swt. Jangan hanya berbelit-belit lidah menghafal hadis dan surah-surah kitab suci al-Quran untuk berhujah dengan musuh-musuh politik tetapi di belakang mereka penuh dengan serigala jadian yang menanti peluang membaham rakyat.
Wallahualam
~: sani :~

No comments:
Post a Comment