Salam,
1. Jika soal ketololan dan kedunguan ingin di pelajari dari alam, pastinya makhluk alam yang tidak akan terlepas dari menjadi contoh adalah keldai, unta dan lembu. Manusia yang sering diperkudakan juga kebiasaannya dianggap sebagai dijangkiti penyakit dungu dan tolol walaupun kuda tidaklah sinonim dengan kebodohan. Jarang sekali kita dengar ada yang berkata "bodoh macam kuda" walaupun diperkudakan sering menjadi mainan mulut. Amat tidak sesuai jika ayat "diperkudakan seperti keldai" digunapakai dan alangkah lebih baik diringkaskan dengan kata-kata 'dikeldaikan' atau diuntakan. Ataupun kita juga biasa terdengar kata-kata diperlembukan yang turut membawa maksud diperbodohkan.
2. Saya cuba merungkai kata-kata George Bernard Shaw seorang novelis, politikus dan orator yang dilahirkan di Dublin, Ireland pada tahun 1856 dan menetap di England sehingga tamat hayatnya pada tahun 1950. Kata-katanya yang dipetik oleh K.Das dalam bukunya bertajuk Dominasi Melayu terbitan . A.K Das Ink Publication pada tahun 1987 yang berbunyi "Pernah dikatakan bahawa seorang tolol itu lebih berbahaya daripada seorang yang jahat, dan apa yang sangat membimbangkan kita sekarang ialah terlalu ramai orang yang tolol merayau-rayau di koridor kuasa di dunia ini". Kata-kata ini yang dipetik oleh K. Das amat menarik dan wajar diberi perhatian kerana simptom-simptom penyakit yang disebutnya itu sedang membarah dan membiak di segenap penjuru dunia termasuk di negara kita.
3. Manusia yang jahat bukanlah terdiri dari mereka yang tolol atau dungu. Jika mereka demikian, sudah pasti sejak awal lagi mereka sudah terperangkap. Namun demikian, itu tidak bermaksud mereka tidak merbahaya kerana ancaman oleh mereka sering menjadikan kehidupan manusia lain berdepan kepayahan dan kebimbangan. Walaubagaimanapun, orang tolol lebih merbahaya berbanding orang jahat sepertimana kata Bernard Shaw itu disebabkan mereka mudah dipengaruhi, diugut, dieksploitasi dan manipulasi. kebodohan menjadikan manusia yang menghidap sindrom ini melihat semuanya baik dan berjalan seperti tiada apa yang merencatkan perancangannya.
4. Lihat saja apa yang berlaku pada Pak Kadok yang ayamnya menang tetapi kampung tergadai malah sehingga bertelanjang bogel lantaran pakaian yang dipakainya itu diperbuat dari kertas. Begitu juga dengan kisah Pak Pandir yang menyebabkan kematian anak sendiri setelah disuruh Mak Andeh memandikan anaknya dengan air suam tetapi Pak Pandir memandikannya dengan air panas yang menggelegak. Itu belum lagi diheret kisah Lebai Malang yang asyik mendapat malang lantaran kebodohannya itu termasuk mereka yang dekat dengan manusia-manusia bodoh seperti ini.
5. Jika bodoh dan tolol yang hanya melibatkan diri sendiri masih boleh diterima, tetapi jika tolol dan dungu yang menampuk kuasa, maka bahayanya bukan saja menimpa diri beliau malah habis semua yang di bawah kekuasaannya turut menerima padah akibat kebodohannya. Pepatah ada menyebut, "Tidak ada kekayaan melebihi akal dan tidak ada kemelaratan yang melebihi kebodohan". Maka dengan itu, sama-sama kita menjauhi kejahilan dan kedunguan serta jangan dipilih mereka untuk diberi kuasa dari kalangan yang tolol dan dungu.
Wallahualam
~: sani :~

No comments:
Post a Comment