Saturday, 28 December 2013

Minda Merempat

As-Salam

1.    Malam tadi sebelum tidur, aku sempat membaca sebuah buku dengan judul ‘Makna Akal – Mengubah minda Melayu’ yang disusun dan ditulis semula oleh Prof. Rahman Shaari dan idea asalnya oleh Mokhtar Jamil. Di dalam bab 2 di bawah tajuk ‘Kehidupan Orang Berakal’, perenggan keduanya benar-benar merenggut aliran berfikir yang sedang deras meluncur. Katanya, “Perkataan 'berakal' juga boleh difahami sebagai aktif berfikir. Seseorang yang memiliki akal yang cukup, tetapi tidak menggunakan akal itu dengan sebaik-baiknya, adalah tidak tergolong. Dalam keadaan demikian, dia dikatakan 'mempunyai akal' tetapi 'tidak berakal'. Makna ini dapat dianalogikan dengan orang yang mempunyai baju tetapi tidak ‘berbaju’. Memang ada orang yang tidak berbaju ketika berehat di halaman rumah, biarpun dia memliki sejumlah baju yang mahal.” Begitu jugalah dengan mereka yang mempunyai banyak akal tetapi tidak menggunakan akalnya dan tidak juga ada manusia yang tidak dianugerahkan akal oleh PenciptaNya.

2.    Mengimbas apa yang dinukilkan oleh penulis, aku menemui pembuktian kata-katanya yang tidak sedikit manusia-manusia jenis ini berkeliaran di sekeliling kita. Spesis sedemikian rupa sesungguhnya begitu banyak jumlahnya sehingga jika difikir lebih jauh agak menggerunkan dan mengatasi musibah banjir dan malapetaka yang lain. Manusia yang tidak berakal ini bahayanya melampaui kemampuan kita berfikir. Mereka mampu melakukan sesuatu yang tidak terjangkau dek akal yang waras. Mereka paling tidak mempunyai sedikit akal tetapi tetaplah tidak menggunakan akal. Samada secara sengaja atau sebaliknya hanya Allah yang maha mengetahui tetapi akibatnya sudah pastilah tidak membawa manfaat kepada kebanyakan di kalangan kita.

3. Golongan ini sekali pandang mungkin kelihatan normal kerana secara lahiriah kelihatan normal dan mungkin kemas bergaya. Tetapi mindanya sudah terjejas akibat ‘brain damage’ yang menjadi pilihan mereka sendiri. Aku berpandangan mereka sebagai manusia-manusia yang dijangkiti virus ‘minda merempat’. Dari segi jasadnya acap-kali mereka tidak menampakkan diri sebagai manusia merempat, namun minda mereka sudah korup dan merempat. Minda merempat bahayanya jauh lebih besar daripada jasad merempat. Jika jasad merempat, kemungkinan ianya berpunca daripada keteguhan seseorang memeluk prinsip yang dipegangnya selama ini. Mungkin dia lebih rela merempat dan mengemis daripada maruahnya tergadai hatta kepada anak-anak dan keluarganya sendiri yang gila harta, ataupun oleh majikan dan ketuanya yang gila kuasa. Ada juga yang sanggup merempat kerana enggan tunduk kepada pemimpin yang zalim lagi jahil. Tetapi jika minda yang merempat, jasad mungkin bersalut emas serta berlian yang diboloti hasil perempatan minda dengan mengemis belas ihsan tuan atau gembalanya. Natijahnya, mereka terpaksa mengemis ke sana-sini untuk meraih simpati gembala-gembala yang menanti gembalaan yang menyerah diri untuk digembala. Mereka sanggup menjual maruah demi kelangsungan hidup yang tempohnya terlalu singkat untuk dilelong. 



4. Walaupun Che Guevara itu pengkagum falsafah Komunis terutama aliran Marxist.dan juga Sosialis serta terlibat dengan gerakan berhaluan kiri, dari sudut prinsip, aku lebih rela bergayut pada kata-katanya "lebih baik mati berdiri dari hidup melutut". Tiada gunanya hidup senget dengan pangkat dan darjah kebesaran jika nilai kemanusiaan dan harga diri sudah digadai. Hidup sudah tidak bermakna jika jiwa sudah ditambat oleh gembala dan diperkosa oleh barisan jin dan iblis. Manusia yang sudah menghidap penyakit ‘minda merempat’ pantang melihat makhluk yang difikirnya "Muko supo montori", maka mereka akan 'celapak' mencium tangan tanpa rasa jemu, tanpa mengira tempat dan masa. Jika dicium tangan gembala atau yang dianggap ‘ muko supo montori’ itu selepas keluar dari bilik air untuk mengambil air sembahyang boleh juga diterima, tetapi amat malang jika baru sudah membatalkan air sembahyang di dalam tandas.

5. Minda merempat tidak mengenal malu kerana kamus ‘kemaluan’ sudah dikunyah dan dihadam oleh ‘balaci-balaci’ yang seangkatan dengan diri mereka. Golongan ini juga tidak mengenal erti ‘rasa bersalah’ kerana dalam fikiran mereka yang bersalah hanyalah mereka yang tidak senada dengan kehendak mereka dan tuan-tuan mereka. Spesis ini juga tidak ada sekelumit rasa kasihan kepada orang lain walaupun tersiksa angkara perbuatan dan tindak-tanduk ‘busuk’ yang diamalkan selama ini. Oleh itu, selagi minda masih merempat, tidak banyak yang boleh diharapkan oleh rakyat kepada mereka. Yang ada senjata rakyat di kalangan orang mukmin adalah, DOA’. Doa mereka yang dizalimi tiadalah hijab dengan Maha Pencipta dan itu adalah janji Allah swt. Janji itu bukanlah olok-olok ataupun ‘manifesto’ yang mudah diperlekeh dan dipermainkan. Karma akan mencari setiap dari manusia-manusia yang mindanya merempat bersama gembala dan tuan-tuan mereka. Florence Shinn berkata, " Permainan hidup adalah sebuah permainan boomerang. Fikiran-fikiran, perbuatan-perbuatan dan kata-kata kita akan kembali lagi kepada kita cepat atau lambat dengan tingkat akurasi yang mengkagumkan. " Karma baik maupun karma buruk, semuanya bergantung kepada cara kita bertindak di masa lalu. Aksi akan menimbulkan reaksi. Siapa menabur, maka dialah yang akan menuai. Apapun kondisi dan hasil yang kita tuai ketika ini, sebenarnya merupakan hasil dari usaha serta perbuatan kita di masa lalu. Apabila kita berbuat baik maka hasilnya nanti akan baik, demikian pula sebaliknya."

Insyallah / Wallahualam

~: hnbk :~

No comments:

Post a Comment