Friday, 28 February 2014

Hentikan Kebiasaan

1. Musibah dan kecelaruan yang berlaku sejak zaman berzaman adalah berpunca daripada sikap masyarakat yang menganggap 'BIASA'. Setiap kali berlaku sesuatu masalah dan ada yang merungut maka akan datanglah suara-suara samada penentang, penjilat dan pengamal fahaman 'bebalisme' yang berbunyi "alah biasa la!". Jika berlaku 'suapan' oleh mana-mana agensi maka akan dijawab oleh penjilat "alah biasalah kalau siapa duduk situ pun sama saja". Jika ada pemimpin yang salahgunakan kuasa dan kaut harta rakyat juga akan dipalu bunyi yang sama. Jika rakyat ditindas dan tersepit dalam kancah inflasi yang serius juga akan disebut "biasa la, takkan harga barang makin lama makin murah?". Isteri melayan jantan lain juga akan disebut "ala biasa lah zaman sekarang". Anak menengking dan melawan kata-kata ibubapa juga pasti bunyinya "ala biasalah zaman dah berubah". Tanah runtuh, masalah air semuanya dianggap biasa dan jika ada yang merungut atau mengeluh maka bersiap sedialah kuping telinga untuk mendengar kata-kata BIASA.

2. Jika semua biasa, apa yang bukan luarbiasa? Tidak bolehkah yang sering dianggap biasa itu dijadikan luarbiasa? Harimau biasanya membaham manusia dan haiwan yang menjadi mangsa kerana fitrah atau kebiasaan harimau sebagai pemangsa. Tetapi jika dilatih dia menjadi jinak dan mendengar kata tuannya. Boleh saja kita menganggap harimau "biasalah membaham manusia" tetapi kita berusaha agar dia tidak memangsakan kita. Perempuan berjalan dalam gelap keseorangan "akan biasa" menjadi mangsa rogol tetapi kita berusaha mengelakkannya dengan pelbagai cara. 

3. Harus ada usaha yang berterusan untuk mengelakkan semua musibah, perkara tidak baik berlaku dengan menjadikannya 'luarbiasa' dan barulah ia akan ditentang. Jika semua menganggap biasa maka tidak akan ada usaha membetulkannya lantaran ia adalah BIASA. Penguatkuasa trafik membongkok ke dalam kereta pemandu di tepi jalan atau lebuhraya maka akan berbunyi "alah biasa la tu". Pekerja yang malas apabila ditegur oleh penyelia atau ketua juga tanpa malu dan segan menjawab " ala biasa la boss". Maka perbuatan begitu sampai bila pun tidak akan menemui noktah. Semuanya berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak ambil kisah dan menjadikannya jenama BIASA. 

4. Jangan hanya berharap perkara mungkar dan jahat seperti yang disebutkan di atas dapat dihentikan selagi kebiasaan yang BIASA tidak dihentikan. Selagi kuman atau virus tidak dihapuskan, penyakit tidak akan hilang. Itulah sebabnya 'antibiotik' dicipta untuk menghapuskan kuman dan virus sebelum penyakit yang hadir bersamanya juga hilang. Doktor sering berpesan agar pesakit menghabiskan ke semua 'antibiotik' yang diberikan walaupun demam atau penyakit sudah dirasakan hilang. Kerana apa? Kerana puncanya perlu dihapuskan agar penyakit sama tidak berulang. Kita adalah apa yang kita kerjakan berulang-ulang. Karena itu, keunggulan bukanlah suatu perbuatan, melainkan sebuah kebiasaan ~ Aristoteles ~

Wallahualam.

~: sani :~

Wednesday, 12 February 2014

Sambil menyelam minum air

1. Hari ini sebaik selesai menyiram pokok dan memberi makan kucing-kucing yang ada, terfikir untuk mencari buku-buku politik yang dijual di tingkat atas bangunan Chowrasta Pulau Pinang. Buku-buku yang sudah out of print memang menjadi kepuasan penggemar koleksi buku sebenarnya. 

2. Tanpa banyak soal, aku terus memandu kereta ke sana walaupun jam sudah hampir 1 tengahari. Sampai di Jalan Transfer, George Town dah 2.30 ptg. Makan tengahari lewat-lewat begini memang puas hati tambahan pula nasi padang yang dulunya sering aku makan. Lauk sedap banyak pilihan pulak tu. Anaknya yang masih kenal beritahu, "Abang! emak dah meninggal 1 1.2 tahun lalu". Hati aku tersentuh kerana ibunya baik dan rapat juga dan setiap kali ke sana dia pastinya sibuk melayan aku. Nampaknya memang sudah lama aku tak ke sana. Apapun, masak lemak belitung dengan ikan cencaru goreng bawang berteman sambal cili minyak dan cuka tak dilepaskan. 

3. Sebelum ke kedai buku, aku singgah ke salon rambut milik teman lama ketika di sana berhampiran Jalan Penang. Teman berbangsa Cina ini begitu gembira melihat aku datang dan kami mengambil peluang bersembang agak lama. Topik banyak berkisar tentang politik Pulau Mutiara ini dan perkara yang agak menarik disebutnya tadi adalah berkenaan ekonomi. Katanya, harta dan peluang ekonomi negara ini sebenarnya dipunggah oleh kelompok mamak bukannya kaum Cina seperti yang didakwa. Tambahnya lagi,rakyat berbangsa Cina di negara ini akan berbelanja dan menabung wang mereka di negara ini kerana ini tanahair mereka. Sedangkan kaum mamak pula mengaut keuntungan dan mengumpul harta serta wang untuk dihantar ke India. Jika difikir tanpa rasa prejudis, apa yang dikatakan oleh teman aku ini agak tidak terpesong. Jika disenaraikan seorang demi seorang memang mamak menjadi orang-orang penting dalam ekonomi dan politik ketika ini. Itu belum lagi, usahawan seperti Mydin, Hussain dan restoran nasi kandar yang berselerak di setiap inci mukabumi negara ini. 

4. Nampaknya, rakyat memerhatikan segala tindak-tanduk pemimpin dan setiap darinya menjadi kurap dan kudis yang akan memuntahkan nanah ke dalam mulut para pemimpin dan politik yang hebat menabur janji tetapi liat melunaskannya.

5. Setelah selesai sembang santai dengan teman berbangsa Cina, aku meneruskan hajat mendapatkan seberapa banyak buku-buku politik yang 'rare' atau 'out of print' di bangunan Chowrasta di Jalan Penang dan alhamdulilah dapat juga 10 buah buku yang agak menarik untuk aku bawa pulang menjadi penghuni kabin buku aku.

Wallahualam

Sani
12/2/14 @11.52pm


Sunday, 2 February 2014

Bila Pak Pandir Ketagih Menyiram

1.  Pagi ini rutin harian seperti hari-hari lain samada sibuk atau tidak, pastinya aku membelai muncung getah dengan penyembur di empat kepala paip keliling rumah menyiram pokok. Yang membezakannya hanya masa samada awal atau lewat. Yang pasti dua kali sehari pagi dan petang pokok-pokok kesayangan aku akan mandi walaupun tuannya terkurang mandi. 

2.  Setiap kali aku menyiram pokok pastinya berbagai perkara yang melalui lorong pemikiran aku akan dibedah tanpa yang arah tak sudah-sudah walaupun ramai yang fikir tak berfaedah. Dari isu sosial, ekonomi sehinggalah politik walaupun aku bukannya ditakdirkan menjadi 'pakar'. Selalunya apabila berfikir, aku akan mencatat sedikit sebagai bahan untuk aku cernakan di blog atau nota di fb. 

3.  Hari ini aku siram dan terus menyiram hingga menyirap darah aku bila teringatkan keadaan ini. Pokok-pokok sekiranya disiram hanya pucuk dan bahagian atas, sememangnya tidak lama lagi 'mampus' pokok itu. Rasanya hanya yang gila atau bodoh saja yang menyiram daun-daun dan pucuknya tanpa menyiram dan membasahi akar dengan tanah-tanah di kelilingnya. Yang menyokong dan terus memberi hayat pokok adalah akar-akarnya. Tanpa akar dan pohon-pohonnya pastilah pucuk dan segala ranting di atas akan layu dan reput di mamah matahari dan cuaca yang kian hari kian berubah tidak menentu. Analogi ini menyentap dan mengheret pemikiran aku kepada negara dengan isinya pemimpin dan rakyat. Tanpa rakyat siapalah pemimpin hatta siapa sekalipun kamu. Jika hanya pemimpin sahaja yang disiram dengan wang ringgit dan harta, sementelah rakyat dibiarkan kontang-kanting terjelir lidah kelaparan, berbogel kesejukan dan susah maka tunggulah detik-detik kematian sesebuah negara. Rakyatlah sebenarnya penyambung hayat sesebuah kerajaan dan negara. Jika rakyat hanya diharapkan terus menyalurkan air dan pemimpin meneguk, dari mana air akan terus datang kepada rakyat? Air dari langit hanya singgah sebentar di atas daun tetapi yang menyerap air dan menyimpan untuk kelangsungan pokok itu pastinya dari bawah.  Begitu jugalah dengan rakyat yang perlukan makanan, tempat tinggal serta pakaian untuk memberi nafas dan kelegaan kepada pemimpin di atas.

4.  Hidup jangan lupa diri, banyak yang di keliling kita menjadi pengajaran yang sangat berguna. Hanya yang diberi akal dan berfikir mampu memanfaatkan anugerah yang Allah berikan. Jika sekadar 'otak', lembu, keldai dan unta juga dikurniakan otak kepada mereka oleh Maha Pencipta. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian apalah gunanya. Namun, belum tercatat dalam sejarah manusia yang menyesal dahulu walaupun ungkapan ini sudah puluhan tahun berbaring dan berdengkur dalam masyarakat kita.

Wallahualam

SANI

Sudah Cukup Sudah

Seringkali manusia memilih untuk mencari jalan pintas tidak kira apa saja yang didepani. Yang penting mudah dan memberi laba. Salah satu kaedah yang dipermudah adalah dedah dan dedah supaya musuh mereka diludah. Hormat menghormati ada kaedah tapi nampaknya dah tak sudah-sudah. Jika tunduk hormat aku disalahfahami sebagai lemah dan mudah dimamah, maka tindakbalas yang perlu adalah kaki di atas sesuatu yang pantas  dan tunduk tidak lagi menetas.  

Melakukan perkara betul di tempat yang salah maka ia menjadi salah. Pengamal homoseks di bumi penggila amalan seks songsang ini adalah manusia yang sempurna berbanding yang tidak. Ketagihan melakukan sesuatu yang benar dan terhormat di tempat salah juga akan menerima padah diludah dan direndah-rendah. Apa lagi yang perlu dibedah untuk melihat sesuatu yang indah? 

Tiap sesuatu ada penyudah dan aku memilih untuk buat tak endah... Kata kumpulan muzik Nirwana, "Cukup-Cukup Sudah".

Wallahualam

~: sani :~

Tuesday, 28 January 2014

Lain tempat yang jatuh, lain tempat dicari

As-Salam,

1. Dalam perjalanan pulang dari tempat kerja malam tadi, Ali ternampak seorang lelaki sedang terbongkok-bongkok seakan mencari sesuatu berhampiran tiang lampu di laluan motosikal yang dilaluinya. Ali terus berhenti motosikalnya untuk membantu lelaki tersebut sambil bertanya, "Abang cari apa abang?" Lelaki tersebut menjawab dia sedang mencari cincinnya yang terjatuh. Ali bertanya "apa abang yakin jatuh di sini?". Lelaki itu menjawab "jatuh di terowong sana tu". Ali yang kehairanan bertanya lagi "habis kenapa abang cari di sini?". Lelaki itu yanag agak berang menjawab "di sana gelap lah bodoh!. Kalau nak tolong cari tu cari lah, kalau tak nak sudah!".  Ali yang kecewa dengan jawapan dan cara lelaki itu melayan soalannya itu terus berlalu dan berfikir, jatuh tempat lain tetapi mencari di tempat lain mana nak jumpa. Walaupun tempat dicari itu terang di bawah lampu tetapi tidak mungkin cincin yang jatuh di tempat gelap akan bergolek-golek datang ke tempat terang. 


2. Analogi di atas seakan-akan menyerupai apa yang berlaku dalam kancah politik negara kita sekarang. Lain masalah yang didepani lain pulak yang ditangani mereka. Rakyat yang ingin membantu akan dibentak dan diherdik kerana dianggap gila atau bodoh dari mereka yang merasa cerdik maha bijaksana sedangkan hakikat sebenar adalah manusia yang tidak mampu ditewaskan oleh Pak Pandir dan Pak Kadok kebodohan mereka. Mengalahkan manusia minda bercawat kata Abang Yahaya Ismail penulis sastera politik yang tidak asing lagi sejak 1970an. Akhirnya kekallah mereka dalam kedunguan dan rakyat terus dipimpin dalam neraka kejahilan yang tidak pasti hujung -pangkalnya.


3. Rakyat tidak iri dan dengki dengan kebodohan mereka kerana bukan itu yang ingin direbut oleh mereka. Apa yang dihajati dan direbut adalah pemimpin yang adil, bijaksana serta amanah terhadap rakyat yang dipimpin. Sekadar manusia-manusia yang dijangkiti virus 'bebalisme' dan 'bongokisme', rakyat pastinya tidak ingin bukan saja dipimpin malah melihat muka-muka yang membawa sial ke hujung nyawa. Apa yang membimbangkan, manusia yang berpenyakit 'bebalisme' dan 'bongokisme' ini tidak sedar atau pura-pura tidak sedar yang penyakit mereka hidapi itu bukan saja membahayakan diri mereka, malah meletakkan rakyat dan negara di ambang kehancuran. 


4. Tersalah memilih pelakon hanya muflis penerbit filem dan syarikatnya, tetapi jika tersalah memilih pemimpin buruk padahnya habis kesemua rakyat menerima biang musibah. Rakyat bukan zalim untuk mencari salah dan sengaja menggali-gali kesalahan mana-mana pihak. Rakyat hanya tidak mahu bermandikan najis hanya kerana tersalah memilih rumah untuk tumpang berteduh. Siapa tuan rumah dan penghuninya bukan keutamaan tetapi biarlah jika tidur sama-sama dapat tidur tidak diganggu bunyi dengkuran penghuni lain yang nyenyak tidur dan jika makan dan minum sama-sama dapat nikmati makanan atau minuman jangan sampai menelan air liur sedangkan mereka membaham makanan dan melanggah minuman seperti Si-Gila jumpa habuan membaham dan melanggah.



5. Sabda Nabi SAW : Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu sukai, dan mereka (pemimpin) juga menyukai kamu, kamu mendoakan mereka, begitu juga mereka, manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka juga benci kepadamu, kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu" (Riwayat Muslim)




Wallahualam

~: Sani :~


Sunday, 19 January 2014

ISLAM BEBAS DARI UNTUNG DAN RUGI

Salam,

1. Emha Ainun Nadjib yang lebih popular dengan nama Cak Nun mengungkapkan bahawa "Islam tidak pernah berubah seincipun kerana disalahfahami. Islam tidak menjadi lebih tinggi kerana dicintai, dan tidak menjadi lebih rendah kerana dibenci. Islam bebas dari untung dan rugi."

2. Kita boleh saja bersetuju untuk tidak bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh beliau malah membalasnya dengan pandangan bahawa itu tidak masuk akal. Samada masuk akal atau keluar akal bukan isu yang menjadi pokok persoalan di sini. Ingin ditokoktambah bahawa Islam juga tidak memerlukan keizinan sesiapa untuk menjadi agama yang dianuti sebahagian besar insan-insan di bumi ini. Izin dari manusia tidak pernah mengurangkan sedikit IZIN Allah swt yang jika dilafazkan 'Kun Fayakun' maka berlakulah seperti apa yang dikehendakiNya. Manusia yang mengizinkan tetapi tanpa keizinan Tuhan, ibarat peminjam yang berlagak umpama pemilik sebenar. Jika Tuan sebenar tidak izinkan, maka malu sendiri dibuatnya.

3. Kadangkala apa yang menjadikan sesama umat Islam dan bukan Islam keliru lantaran cakap tidak serupa bikin. Berdegar-degar membahaskan itu Nabi tidak lakukan, ini Nabi tidak lakukan dan ini bida'ah itu bida'ah sedangkan yang haram dan melalaikan dibiarkan terkinja-kinja dipentaskan di khalayak. Apakah itu bukan bida'ah? Apakah kemaksiatan dan perlakuan karut yang jauh panggang dari api diamalkan Nabi? Samada apa yang dilakukan itu tidak dilakukan oleh para Nabi dan Rasul selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam mengapa harus diperdebatkan sehingga putus urat leher? Janganlah dibidaahkan sesuatu perkara tetapi pada masa yang sama perkara haram dan maksiat dibiarkan berlangsung tanpa nasihat dan teguran. Jika sesuatu tindakan yang berdosa buat rakyat, ia tetap berdosa buat pemimpin kecil sehinggalah pemimpin besar. Jika rakyat boleh ditegur dan dinista atas kemaksiatan yang dilakukan, maka harus kemaksiatan di peringkat atas juga ditegur dengan kaedah dan adab-adab yang tidak menghilangkan ketinggian kepimpinan seseorang pemimpin. Menegur dengan adab tidak bermaksud langsung tidak boleh menegur. Keadilan dan hukum Allah sama saja di sisi Allah swt. 

3. Islam tidak pernah berubah walau seinci hanya kerana disalahfahami. Jika ada yang salahfaham bahawa Islam itu perlu dilaksanakan dengan kekerasan maka ia tidak akan mampu mengubah ayat-ayat suci dari kalam Allah yang meletakkan hikmah berdakwah secara bijaksana. Bijaksana tidak semestinya keras dan pendekatan konfrantasi seringkali gagal menemui sentuhan kejayaan. Nabi Muhammad saw berjaya meletakkan Islam sebagai agama yang dihormati dan ulung tidak disertai dengan kekerasan sebaliknya dengan kasih sayang dan kesabaran yang sukar dicapai oleh manusia di zaman ini. Namun, jika tidak mampu mencapai apa yang dilakukan oleh baginda, jangan pula menghancurkan nama baik Islam dengan tingkah-laku yang tidak sahaja mampu menarik bukan Islam, malah menakut-nakutkan mereka. Untuk mendapatkan kuasa dan mengekalkannya pastinya perlu berusaha tetapi bukan dengan cara menambah kesalahfahaman terhadap Islam. 

4. Berbilion manusia yang membenci Islam tidak akan meruntuhkan tiang agama dari langit. Begitu juga tidak akan menjadi lebih tinggi dengan jumlah yang begitu ramai yang cintakan Islam selagi umat Islam sendiri tidak memberi contoh yang baik kepada bukan Islam dan sesama Islam. Islam akan bangkit dengan kesatuan ummah bukan dengan kelompok yang dipecah-pecah atas kemahuan pemimpin yang 'gila-kuasa'. Yang gila itu penyakit dan 'gila-kuasa' juga penyakit yang perlu diubati. Apakah ubat buat mereka-mereka yang 'gila-kuasa'? Menambah kuasa, mengurangkan kuasa, mengekalkan kuasa ataupun 'melondehkan kuasa'? Seperti manusia yang sudah gila, ada yang perlu dipujuk, ada yang perlu ditelunjuk dan ada yang perlu dicucuk-cucuk. Mungkin kaedah yang sama perlu digunapakai? Mungkin ada yang berkata dia gila biarkan saja asalkan kita tidak gila. Bashar Al-Assad yang gila kuasa itu dibiarkan 'gila-kuasa' sehingga ribuan rakyat Syria menjadi mangsanya. Di negara ini juga ramai yang mati dan cedera akibat orang gila dan setelah pemeriksaan mendapati suspek itu gila, maka bebas dan lepas dia meninggalkan yang mati dan cedera menerima padah akibat 'gila'. Oleh yang demikian, gila tidak seharusnya dibiarkan berleluasa dan tanpa kawalan dan pencegahan. 

5. Politik itu seperti ikan besar yang akan membaham semua ikan yang lebih kecil. Namun begitu, apakah ianya harus dibiarkan ikan-ikan kecil menjadi mangsa ikan-ikan besar tanpa pembelaan? Elakkan diri dan seluruh rakyat daripada bercucuk tanam duri di tubuh sendiri. Siapa yang menanam duri, akan sukar baginya mencabut duri-duri tersebut. Ini bukan amalan syiah menyiksa diri dengan mendera diri sendiri. Jika kita terus mendera dan menyiksa diri walaupun sudah mengetahui tindakan kita itu adalah tindakan bunuh diri atau menyakiti diri sendiri bermakna kelompok ini juga tidak ada bezanya dengan suku-sakat syiah yang dikutuk saban hari sebelum ini. Islam bukan untuk diniagakan dan untuk itu janganlah ada yang bercita-cita menjadi peniaga agama. Lantaran itulah Cak Nun berkata Islam itu bebas dari untung rugi kerana tidak ada sesiapa yang berhak dan layak memperdagang atau memperniagakan Islam. 

6. Dunia perniagaan itu luas dan carilah bidang yang boleh mendatangkan pulangan bukan sahaja di dunia tetapi juga sebagai ladang menuai untuk akhirat. 

Wallahualam

~: sani :~

Saturday, 18 January 2014

KEADILAN HAKIKI

As-Salam,

1. Tiada syurga untuk orang kaya dan orang miskin malah tidak ada juga neraka untuk orang kaya dan orang miskin. Semuanya akan dikelompokkan samada syurga atau neraka berdasarkan amalan masing-masing. Kerana itu jugalah tiadanya masjid untuk orang kaya dan masjid orang miskin. Yang ada hanyalah jamaah masjid yang tidak dibezakan atas kekayaan, pangkat dan jawatan masing-masing. Jika perlukan pengasingan, jadilah perempuan bersolat berasingan dari jamaah lelaki. Jika dilihat atau dikesan perbezaan manusia di masjid pastinya disebabkan manusia yang tidak memasjidkan masjid hanya sekadar menumpang masjid untuk menumpang tuah.

2. Penjara mungkin ada yang membezakan antara yang kaya dan miskin kerana hukum dan hukuman itu ciptaan manusia. Semakin besar suapan, semakin enak dan besar nikmat dilalui serta semakin kurang kekurangan yang akan dihadapi oleh oleh banduan kaya. Yang miskin terpaksa melalui prosedur dan ketetapan kononnya atas nama keadilan. Jika keadilan hakiki yang dicari, temuilah ia hidup selepas mati. Itulah keadilan hakiki yang tidak ada manusia yang mampu melepasi penegakan hukum keadilan Maha Pencipta. Kecurangan dan suapan tidak ada tempat dalam kamus hukum keadilan di sana nanti.  Kata Robert Biffault seorang penulis novel sekitar tahun 1930an  berkata “Keadilan akan menjadi mungkin hanya apabila semua pihak mempunyai kuasa untuk menentang dan menegah yang salah”.

3. Sambil meneruskan kehidupan yang berbaki, lihatlah keadilan yang diatasnamakan keadilan di sekeliling kita.

Wallahualam

~: sani :~

Monday, 6 January 2014

Hentikan Perang Kebodohan

As-Salam,

1. Bekas Perdana Menteri (PM) pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam bukunya ‘Looking Back’ dalam Bab 31 menulis pada tahun 1975 bahawa “The best of food can also turn sour; likewise good medicine can do harm if an overdose is taken”. Terjemahannya membawa maksud “sebaik-baik makanan sekalipun boleh bertukar masam dan begitu juga dalam bidang perubatan yang baik boleh mendatangkan mudarat jika dos berlebihan diambil”.

2. Apa yang berlaku ketika ini dalam negara sememangnya telah menampakkan simptom sedemikian rupa sedang menjalar ke seluruh pelusuk tubuh rakyat dan setiap inci bumi tanahair kita. Jika makanan yang baik pun boleh menjadi masam jika tidak dijaga dan terlalu lama, maka pastinya yang tidak baik akan berlebih-lebih lagilah kemasamannya. Yang berkata makanan itu baik belum tentu baik kerana penjualnya ingin menghabiskan jualannya. Seperti penjual buah di pasar malam yang tidak jujur dan amanah akan berkata buah jualannya itu segar-bugar dan rangup sedangkan apabila dibeli dan dibawa pulang ianya adalah sebaliknya. Zaman sekarang penipu lebih ramai dari mangsa tipu maka tahap keprihatinan terhadap penipu perlu digandakan.

3. Begitu juga dengan apa yang disebut Tunku bahawa perubatan juga akan membawa mudarat jika dos berlebihan yang diambil. Demam selsema diambilnya puluhan biji paracetamol tidak akan menyembuhkan selsema sebaliknya mungkin mengakibatkan pengidap penyakit itu lebih parah. Rakyat tidak memerlukan dos berlebihan dalam menyabung ayam tambatan sehingga kepercayaan rakyat pupus kepada pemerintah. Memadai sekali dua berseloka dan berjenaka dengan rakyat tetapi jangan pula keterlaluan. Tahap kesabaran rakyat ada sempadan dan batasannya. Menguji rakyat bukan dengan kaedah yang terlalu kasar dan tidak beradab. Tahap intelektual rakyat juga tidak perlulah dimandulkan hanya semata-mata untuk menutup kelemahan yang digali oleh kita sendiri.

4. Zaman sudah berubah dan ilmu serta pengetahuan tidak sesukar zaman sebelumnya untuk dipekup dan ditudung di bawah pelepah pisang. Bangkai gajah tidak mungkin ditutup hanya dengan sehelai daun. Boleh ditutup tetapi tidak mampu melindungi kisah-kisah ‘bebal’ yang dicipta oleh tangan-tangan pendukung fahaman ‘jahiliyah’ dan sahabat handai Pak Kadok, Pak Pandir dan Lebai Malang yang tak makan dek ajar dan jangan sekali-kali diikuti. Perang kebodohan perlu ditamatkan segera seperti kata Husna Nazri dalam cerpennya dengan judul 'Mei Yang basah' dalam koleksi cerpen terpilihnya yang dikumpul dalam buku Penglipur Lara dan Negeri Jenaka, (2013), Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur. Yang sudah itu sudah lah jangan diteruskan lagi. Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan tetapi tidak pula bermakna ianya harus diulang-ulang. Sekali itu kesilapan dan kedua serta seterusnya adalah pilihan.

5. Apabila rakyat menegur dan mengkritik tidak bermaksud rakyat memihak kepada mana-mana pihak. Tidak kiralah samada pembangkang mahupun kerajaan bagi rakyat selagi apa yang dilakukan itu untuk kebaikan mereka secara keseluruhan tanpa ada ‘double standard’ pasti akan dihargai dan dipuji. Sebaliknya jika tindak-tanduk mana-mana pihak yang merugikan rakyat, bangsa, agama dan tanahair, mereka akan menegur dan mengkritik agar ianya dapat diperbaiki. Mereka lakukan semuanya kerana mereka adalah mangsa-mangsa yang terbeban dengan himpitan ekonomi, sosial dan politik yang kian senget dan goyah. Rakyat tidak harus membiarkan sehingga rebah dan tumbang baru dibenarkan bersuara. Seperti kata Bekas Mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abidin dan diterbitkan dalam akhbar Sinar Harian semalam, “Kerajaan yang sering berprasangka buruk apabila rakyat mengkritik pemerintah yang melakukan kesalahan tidak harus menjadi kerajaan. Tambahnya lagi, rakyat menggunakan kuasa untuk mengkritik kerajaan untuk memberi kesedaran kepada pemerintah yang melakukan kesalahan.Menurutnya, kritikan yang dilontarkan rakyat juga bukan bermaksud mereka memihak kepada mana-mana parti politik terutamanya pembangkang. Tidak semestinya kritikan itu kerana mereka menjadi agen pembangkang ataupun ingin menumbangkan kerajaan dengan senjata seperti yang diandaikan oleh mereka yang naif. Rakyat mengkritik kerajaan kerana memang hak mereka memuhasabah kerajaan yang memerintah negara mereka dan mengambil cukai serta mengenakan kuasa ke atas mereka, tiada kerajaan tanpa rakyat. Jika kerajaan tidak mahu dikritik sila jangan jadi kerajaan bagi sebuah negara yang penduduknya berakal dan merdeka.”

6. Begitu juga dengan Bekas PM kita Tun Dr Mahathir yang menulis kritikannya dalam blog yang begitu popular pada 30 November 2009 terhadap UMNO. Kritikannya itu kerana beliau sayangkan UMNO bukan disebabkan kebencian yang meluap-luap terhadap UMNO. Kepimpinan ketika itu sudah pincang dan boleh mengakibatkan negara akan bertambah lemah dan lesu. Katanya, “Saya amat terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata “UMNO is rotten to the core” (UMNO busuk hingga ke ususnya)”. Apakah hanya Tun M sahaja yang mampu berfikir begitu dan rakyat secara umumnya begitu dangkal untuk berfikir, buta untuk melihat, pekak dan tuli untuk mendengar serta dilahirkan bisu untuk tidak boleh bersuara?

7. Berseronok dan berpesta di ketika rakyat menderita dan sengsara adalah tindakan paling tidak bijak dan tidak berperasaan. Bagi yang memuji langkah itu dan ini yang dilakukan sekarang oleh pemerintah hanyalah ungkapan ‘plastik’ yang menambah kebencian rakyat pada pemerintah. Jangan terus dibuai dengan pujian, ampuan dan ‘bodekisme’ pengkhianat-pengkhianat yang hanya menumbuhkan kebencian rakyat pada pemerintah. Yang berpura-pura memuji dan mengampu itu hanya berapa kerat manusia dan tidak cukup untuk memenangkan parti tatkala parti memerlukan kertas undi yang memihak kepada parti untuk menang. Manusia jenis ini akan lari mengalahkan Watson Nyambek meninggalkan pemimpin dan parti yang dipuji setiap masa sebelum itu. Jika tidak percaya minta mereka menjelir lidah pastinya bercabang-cabang. Sejarah telah membuktikan ia benar dan tidak ada yang tidak benar melainkan benar-benar belaka wahai pemerintah. Percayalah bahawa rakyat masih boleh menerima pengakuan salah jika pemimpin ikhlas mengakui kesilapan dan memperbaikinya. Janganlah menunggu sehingga nazak dan sudah berada dipersimpangan lampu isyarat ‘hujung nyawa’ baru tersadar dari igauan. Tiada istilah sudah terlewat selagi kita masih belum tersungkur. Yang lewat hanyalah apabila ‘Talqin’ sudah dibaca dan kita berkiam tangan berbaring di bawah sana. Janganlah kita menganggap rakyat bodoh dan kita tahu segala-galanya. Kata Jawarhalal Nehru PM pertama India, “orang yang bijaksana sedar betapa sedikitnya yang dia tahu; hanya orang yang bodoh menyangka dia tahu segala-galanya”.

Wallahualam

~: sani :~




Wednesday, 1 January 2014

Antara keikhlasan dan politik huru-hara

Kelmarin saya gembira diberikan buku lama dgn isi 60 buah cerita dongeng dan rakyat seluruh dunia dalam 379 halaman. Buku yang ditemui dalam timbunan sampah di tapak pelupusan sampah oleh teman saya itu saya amat teruja dan hargai kerana dicetak dan diterbitkan sejak lama tahun 1962. 

Teman saya bukan Islam yang menguruskan tapak pelupusan sampah itu membina 'dangau' tempat rehat dia dan pekerja-pekerja. Bumbung dangau dibuat dari plastik biru saya lihat ada sesuatu terselit di atas antara kayu bumbung dan plastik bumbung. Saya tanya apa benda tu? Dia terus ambil beberapa keping seakan buku dan bagitau selalu jumpa di tapak pelupusan sampah dan dipijak sana sini. Bila saya lihat adalah muqaddam dan buku-buku doa mengandungi ayat suci AlQuran. 

Saya jadi terpaku dan bingung seketika bila fikir semula kaedah pelupusan dokumen2 terkandung ayat suci AlQuran di negara kita dan seperti diberitau ada ketikanya dia tak nak dipijak-pijak sebab tu dia bukan Islam kutip letak atas bumbung dangau. 


Di mana mereka yang kononnya nak pertahankan kalimah Allah tapi perkara begini diremehkan, dipejamkan mata atau langsung tidak dipedulikan? Kalimah Allah memenuhi muqaddam dan dokumen mengandungi ayat-ayat suci AlQuran. Tidak penting dan tidak besar isu ayat-ayat suci diperlakukan begitu? Pastinya di seluruh negara perkara sama berlaku. Sekadar renungan kita bersama. 

Wallahualam

~: sani :~