Monday, 6 January 2014

Hentikan Perang Kebodohan

As-Salam,

1. Bekas Perdana Menteri (PM) pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam bukunya ‘Looking Back’ dalam Bab 31 menulis pada tahun 1975 bahawa “The best of food can also turn sour; likewise good medicine can do harm if an overdose is taken”. Terjemahannya membawa maksud “sebaik-baik makanan sekalipun boleh bertukar masam dan begitu juga dalam bidang perubatan yang baik boleh mendatangkan mudarat jika dos berlebihan diambil”.

2. Apa yang berlaku ketika ini dalam negara sememangnya telah menampakkan simptom sedemikian rupa sedang menjalar ke seluruh pelusuk tubuh rakyat dan setiap inci bumi tanahair kita. Jika makanan yang baik pun boleh menjadi masam jika tidak dijaga dan terlalu lama, maka pastinya yang tidak baik akan berlebih-lebih lagilah kemasamannya. Yang berkata makanan itu baik belum tentu baik kerana penjualnya ingin menghabiskan jualannya. Seperti penjual buah di pasar malam yang tidak jujur dan amanah akan berkata buah jualannya itu segar-bugar dan rangup sedangkan apabila dibeli dan dibawa pulang ianya adalah sebaliknya. Zaman sekarang penipu lebih ramai dari mangsa tipu maka tahap keprihatinan terhadap penipu perlu digandakan.

3. Begitu juga dengan apa yang disebut Tunku bahawa perubatan juga akan membawa mudarat jika dos berlebihan yang diambil. Demam selsema diambilnya puluhan biji paracetamol tidak akan menyembuhkan selsema sebaliknya mungkin mengakibatkan pengidap penyakit itu lebih parah. Rakyat tidak memerlukan dos berlebihan dalam menyabung ayam tambatan sehingga kepercayaan rakyat pupus kepada pemerintah. Memadai sekali dua berseloka dan berjenaka dengan rakyat tetapi jangan pula keterlaluan. Tahap kesabaran rakyat ada sempadan dan batasannya. Menguji rakyat bukan dengan kaedah yang terlalu kasar dan tidak beradab. Tahap intelektual rakyat juga tidak perlulah dimandulkan hanya semata-mata untuk menutup kelemahan yang digali oleh kita sendiri.

4. Zaman sudah berubah dan ilmu serta pengetahuan tidak sesukar zaman sebelumnya untuk dipekup dan ditudung di bawah pelepah pisang. Bangkai gajah tidak mungkin ditutup hanya dengan sehelai daun. Boleh ditutup tetapi tidak mampu melindungi kisah-kisah ‘bebal’ yang dicipta oleh tangan-tangan pendukung fahaman ‘jahiliyah’ dan sahabat handai Pak Kadok, Pak Pandir dan Lebai Malang yang tak makan dek ajar dan jangan sekali-kali diikuti. Perang kebodohan perlu ditamatkan segera seperti kata Husna Nazri dalam cerpennya dengan judul 'Mei Yang basah' dalam koleksi cerpen terpilihnya yang dikumpul dalam buku Penglipur Lara dan Negeri Jenaka, (2013), Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur. Yang sudah itu sudah lah jangan diteruskan lagi. Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan tetapi tidak pula bermakna ianya harus diulang-ulang. Sekali itu kesilapan dan kedua serta seterusnya adalah pilihan.

5. Apabila rakyat menegur dan mengkritik tidak bermaksud rakyat memihak kepada mana-mana pihak. Tidak kiralah samada pembangkang mahupun kerajaan bagi rakyat selagi apa yang dilakukan itu untuk kebaikan mereka secara keseluruhan tanpa ada ‘double standard’ pasti akan dihargai dan dipuji. Sebaliknya jika tindak-tanduk mana-mana pihak yang merugikan rakyat, bangsa, agama dan tanahair, mereka akan menegur dan mengkritik agar ianya dapat diperbaiki. Mereka lakukan semuanya kerana mereka adalah mangsa-mangsa yang terbeban dengan himpitan ekonomi, sosial dan politik yang kian senget dan goyah. Rakyat tidak harus membiarkan sehingga rebah dan tumbang baru dibenarkan bersuara. Seperti kata Bekas Mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abidin dan diterbitkan dalam akhbar Sinar Harian semalam, “Kerajaan yang sering berprasangka buruk apabila rakyat mengkritik pemerintah yang melakukan kesalahan tidak harus menjadi kerajaan. Tambahnya lagi, rakyat menggunakan kuasa untuk mengkritik kerajaan untuk memberi kesedaran kepada pemerintah yang melakukan kesalahan.Menurutnya, kritikan yang dilontarkan rakyat juga bukan bermaksud mereka memihak kepada mana-mana parti politik terutamanya pembangkang. Tidak semestinya kritikan itu kerana mereka menjadi agen pembangkang ataupun ingin menumbangkan kerajaan dengan senjata seperti yang diandaikan oleh mereka yang naif. Rakyat mengkritik kerajaan kerana memang hak mereka memuhasabah kerajaan yang memerintah negara mereka dan mengambil cukai serta mengenakan kuasa ke atas mereka, tiada kerajaan tanpa rakyat. Jika kerajaan tidak mahu dikritik sila jangan jadi kerajaan bagi sebuah negara yang penduduknya berakal dan merdeka.”

6. Begitu juga dengan Bekas PM kita Tun Dr Mahathir yang menulis kritikannya dalam blog yang begitu popular pada 30 November 2009 terhadap UMNO. Kritikannya itu kerana beliau sayangkan UMNO bukan disebabkan kebencian yang meluap-luap terhadap UMNO. Kepimpinan ketika itu sudah pincang dan boleh mengakibatkan negara akan bertambah lemah dan lesu. Katanya, “Saya amat terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata “UMNO is rotten to the core” (UMNO busuk hingga ke ususnya)”. Apakah hanya Tun M sahaja yang mampu berfikir begitu dan rakyat secara umumnya begitu dangkal untuk berfikir, buta untuk melihat, pekak dan tuli untuk mendengar serta dilahirkan bisu untuk tidak boleh bersuara?

7. Berseronok dan berpesta di ketika rakyat menderita dan sengsara adalah tindakan paling tidak bijak dan tidak berperasaan. Bagi yang memuji langkah itu dan ini yang dilakukan sekarang oleh pemerintah hanyalah ungkapan ‘plastik’ yang menambah kebencian rakyat pada pemerintah. Jangan terus dibuai dengan pujian, ampuan dan ‘bodekisme’ pengkhianat-pengkhianat yang hanya menumbuhkan kebencian rakyat pada pemerintah. Yang berpura-pura memuji dan mengampu itu hanya berapa kerat manusia dan tidak cukup untuk memenangkan parti tatkala parti memerlukan kertas undi yang memihak kepada parti untuk menang. Manusia jenis ini akan lari mengalahkan Watson Nyambek meninggalkan pemimpin dan parti yang dipuji setiap masa sebelum itu. Jika tidak percaya minta mereka menjelir lidah pastinya bercabang-cabang. Sejarah telah membuktikan ia benar dan tidak ada yang tidak benar melainkan benar-benar belaka wahai pemerintah. Percayalah bahawa rakyat masih boleh menerima pengakuan salah jika pemimpin ikhlas mengakui kesilapan dan memperbaikinya. Janganlah menunggu sehingga nazak dan sudah berada dipersimpangan lampu isyarat ‘hujung nyawa’ baru tersadar dari igauan. Tiada istilah sudah terlewat selagi kita masih belum tersungkur. Yang lewat hanyalah apabila ‘Talqin’ sudah dibaca dan kita berkiam tangan berbaring di bawah sana. Janganlah kita menganggap rakyat bodoh dan kita tahu segala-galanya. Kata Jawarhalal Nehru PM pertama India, “orang yang bijaksana sedar betapa sedikitnya yang dia tahu; hanya orang yang bodoh menyangka dia tahu segala-galanya”.

Wallahualam

~: sani :~




No comments:

Post a Comment