1. Dalam perjalanan pulang dari tempat kerja malam tadi, Ali ternampak seorang lelaki sedang terbongkok-bongkok seakan mencari sesuatu berhampiran tiang lampu di laluan motosikal yang dilaluinya. Ali terus berhenti motosikalnya untuk membantu lelaki tersebut sambil bertanya, "Abang cari apa abang?" Lelaki tersebut menjawab dia sedang mencari cincinnya yang terjatuh. Ali bertanya "apa abang yakin jatuh di sini?". Lelaki itu menjawab "jatuh di terowong sana tu". Ali yang kehairanan bertanya lagi "habis kenapa abang cari di sini?". Lelaki itu yanag agak berang menjawab "di sana gelap lah bodoh!. Kalau nak tolong cari tu cari lah, kalau tak nak sudah!". Ali yang kecewa dengan jawapan dan cara lelaki itu melayan soalannya itu terus berlalu dan berfikir, jatuh tempat lain tetapi mencari di tempat lain mana nak jumpa. Walaupun tempat dicari itu terang di bawah lampu tetapi tidak mungkin cincin yang jatuh di tempat gelap akan bergolek-golek datang ke tempat terang.
2. Analogi di atas seakan-akan menyerupai apa yang berlaku dalam kancah politik negara kita sekarang. Lain masalah yang didepani lain pulak yang ditangani mereka. Rakyat yang ingin membantu akan dibentak dan diherdik kerana dianggap gila atau bodoh dari mereka yang merasa cerdik maha bijaksana sedangkan hakikat sebenar adalah manusia yang tidak mampu ditewaskan oleh Pak Pandir dan Pak Kadok kebodohan mereka. Mengalahkan manusia minda bercawat kata Abang Yahaya Ismail penulis sastera politik yang tidak asing lagi sejak 1970an. Akhirnya kekallah mereka dalam kedunguan dan rakyat terus dipimpin dalam neraka kejahilan yang tidak pasti hujung -pangkalnya.
3. Rakyat tidak iri dan dengki dengan kebodohan mereka kerana bukan itu yang ingin direbut oleh mereka. Apa yang dihajati dan direbut adalah pemimpin yang adil, bijaksana serta amanah terhadap rakyat yang dipimpin. Sekadar manusia-manusia yang dijangkiti virus 'bebalisme' dan 'bongokisme', rakyat pastinya tidak ingin bukan saja dipimpin malah melihat muka-muka yang membawa sial ke hujung nyawa. Apa yang membimbangkan, manusia yang berpenyakit 'bebalisme' dan 'bongokisme' ini tidak sedar atau pura-pura tidak sedar yang penyakit mereka hidapi itu bukan saja membahayakan diri mereka, malah meletakkan rakyat dan negara di ambang kehancuran.
4. Tersalah memilih pelakon hanya muflis penerbit filem dan syarikatnya, tetapi jika tersalah memilih pemimpin buruk padahnya habis kesemua rakyat menerima biang musibah. Rakyat bukan zalim untuk mencari salah dan sengaja menggali-gali kesalahan mana-mana pihak. Rakyat hanya tidak mahu bermandikan najis hanya kerana tersalah memilih rumah untuk tumpang berteduh. Siapa tuan rumah dan penghuninya bukan keutamaan tetapi biarlah jika tidur sama-sama dapat tidur tidak diganggu bunyi dengkuran penghuni lain yang nyenyak tidur dan jika makan dan minum sama-sama dapat nikmati makanan atau minuman jangan sampai menelan air liur sedangkan mereka membaham makanan dan melanggah minuman seperti Si-Gila jumpa habuan membaham dan melanggah.
5. Sabda Nabi SAW : Sebaik-baik pemimpin kamu
adalah mereka yang kamu sukai, dan mereka (pemimpin) juga menyukai kamu, kamu
mendoakan mereka, begitu juga mereka, manakala seburuk-buruk pemimpin adalah
mereka yang kamu benci dan mereka juga benci kepadamu, kamu melaknat mereka,
mereka juga melaknat kamu" (Riwayat Muslim)
Wallahualam
~: Sani :~

No comments:
Post a Comment