Salam,
1. Emha Ainun Nadjib yang lebih popular dengan nama Cak Nun mengungkapkan bahawa "Islam tidak pernah berubah seincipun kerana disalahfahami. Islam tidak menjadi lebih tinggi kerana dicintai, dan tidak menjadi lebih rendah kerana dibenci. Islam bebas dari untung dan rugi."
2. Kita boleh saja bersetuju untuk tidak bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh beliau malah membalasnya dengan pandangan bahawa itu tidak masuk akal. Samada masuk akal atau keluar akal bukan isu yang menjadi pokok persoalan di sini. Ingin ditokoktambah bahawa Islam juga tidak memerlukan keizinan sesiapa untuk menjadi agama yang dianuti sebahagian besar insan-insan di bumi ini. Izin dari manusia tidak pernah mengurangkan sedikit IZIN Allah swt yang jika dilafazkan 'Kun Fayakun' maka berlakulah seperti apa yang dikehendakiNya. Manusia yang mengizinkan tetapi tanpa keizinan Tuhan, ibarat peminjam yang berlagak umpama pemilik sebenar. Jika Tuan sebenar tidak izinkan, maka malu sendiri dibuatnya.
3. Kadangkala apa yang menjadikan sesama umat Islam dan bukan Islam keliru lantaran cakap tidak serupa bikin. Berdegar-degar membahaskan itu Nabi tidak lakukan, ini Nabi tidak lakukan dan ini bida'ah itu bida'ah sedangkan yang haram dan melalaikan dibiarkan terkinja-kinja dipentaskan di khalayak. Apakah itu bukan bida'ah? Apakah kemaksiatan dan perlakuan karut yang jauh panggang dari api diamalkan Nabi? Samada apa yang dilakukan itu tidak dilakukan oleh para Nabi dan Rasul selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam mengapa harus diperdebatkan sehingga putus urat leher? Janganlah dibidaahkan sesuatu perkara tetapi pada masa yang sama perkara haram dan maksiat dibiarkan berlangsung tanpa nasihat dan teguran. Jika sesuatu tindakan yang berdosa buat rakyat, ia tetap berdosa buat pemimpin kecil sehinggalah pemimpin besar. Jika rakyat boleh ditegur dan dinista atas kemaksiatan yang dilakukan, maka harus kemaksiatan di peringkat atas juga ditegur dengan kaedah dan adab-adab yang tidak menghilangkan ketinggian kepimpinan seseorang pemimpin. Menegur dengan adab tidak bermaksud langsung tidak boleh menegur. Keadilan dan hukum Allah sama saja di sisi Allah swt.
3. Islam tidak pernah berubah walau seinci hanya kerana disalahfahami. Jika ada yang salahfaham bahawa Islam itu perlu dilaksanakan dengan kekerasan maka ia tidak akan mampu mengubah ayat-ayat suci dari kalam Allah yang meletakkan hikmah berdakwah secara bijaksana. Bijaksana tidak semestinya keras dan pendekatan konfrantasi seringkali gagal menemui sentuhan kejayaan. Nabi Muhammad saw berjaya meletakkan Islam sebagai agama yang dihormati dan ulung tidak disertai dengan kekerasan sebaliknya dengan kasih sayang dan kesabaran yang sukar dicapai oleh manusia di zaman ini. Namun, jika tidak mampu mencapai apa yang dilakukan oleh baginda, jangan pula menghancurkan nama baik Islam dengan tingkah-laku yang tidak sahaja mampu menarik bukan Islam, malah menakut-nakutkan mereka. Untuk mendapatkan kuasa dan mengekalkannya pastinya perlu berusaha tetapi bukan dengan cara menambah kesalahfahaman terhadap Islam.
4. Berbilion manusia yang membenci Islam tidak akan meruntuhkan tiang agama dari langit. Begitu juga tidak akan menjadi lebih tinggi dengan jumlah yang begitu ramai yang cintakan Islam selagi umat Islam sendiri tidak memberi contoh yang baik kepada bukan Islam dan sesama Islam. Islam akan bangkit dengan kesatuan ummah bukan dengan kelompok yang dipecah-pecah atas kemahuan pemimpin yang 'gila-kuasa'. Yang gila itu penyakit dan 'gila-kuasa' juga penyakit yang perlu diubati. Apakah ubat buat mereka-mereka yang 'gila-kuasa'? Menambah kuasa, mengurangkan kuasa, mengekalkan kuasa ataupun 'melondehkan kuasa'? Seperti manusia yang sudah gila, ada yang perlu dipujuk, ada yang perlu ditelunjuk dan ada yang perlu dicucuk-cucuk. Mungkin kaedah yang sama perlu digunapakai? Mungkin ada yang berkata dia gila biarkan saja asalkan kita tidak gila. Bashar Al-Assad yang gila kuasa itu dibiarkan 'gila-kuasa' sehingga ribuan rakyat Syria menjadi mangsanya. Di negara ini juga ramai yang mati dan cedera akibat orang gila dan setelah pemeriksaan mendapati suspek itu gila, maka bebas dan lepas dia meninggalkan yang mati dan cedera menerima padah akibat 'gila'. Oleh yang demikian, gila tidak seharusnya dibiarkan berleluasa dan tanpa kawalan dan pencegahan.
5. Politik itu seperti ikan besar yang akan membaham semua ikan yang lebih kecil. Namun begitu, apakah ianya harus dibiarkan ikan-ikan kecil menjadi mangsa ikan-ikan besar tanpa pembelaan? Elakkan diri dan seluruh rakyat daripada bercucuk tanam duri di tubuh sendiri. Siapa yang menanam duri, akan sukar baginya mencabut duri-duri tersebut. Ini bukan amalan syiah menyiksa diri dengan mendera diri sendiri. Jika kita terus mendera dan menyiksa diri walaupun sudah mengetahui tindakan kita itu adalah tindakan bunuh diri atau menyakiti diri sendiri bermakna kelompok ini juga tidak ada bezanya dengan suku-sakat syiah yang dikutuk saban hari sebelum ini. Islam bukan untuk diniagakan dan untuk itu janganlah ada yang bercita-cita menjadi peniaga agama. Lantaran itulah Cak Nun berkata Islam itu bebas dari untung rugi kerana tidak ada sesiapa yang berhak dan layak memperdagang atau memperniagakan Islam.
6. Dunia perniagaan itu luas dan carilah bidang yang boleh mendatangkan pulangan bukan sahaja di dunia tetapi juga sebagai ladang menuai untuk akhirat.
Wallahualam
~: sani :~
No comments:
Post a Comment