Sunday, 2 February 2014

Bila Pak Pandir Ketagih Menyiram

1.  Pagi ini rutin harian seperti hari-hari lain samada sibuk atau tidak, pastinya aku membelai muncung getah dengan penyembur di empat kepala paip keliling rumah menyiram pokok. Yang membezakannya hanya masa samada awal atau lewat. Yang pasti dua kali sehari pagi dan petang pokok-pokok kesayangan aku akan mandi walaupun tuannya terkurang mandi. 

2.  Setiap kali aku menyiram pokok pastinya berbagai perkara yang melalui lorong pemikiran aku akan dibedah tanpa yang arah tak sudah-sudah walaupun ramai yang fikir tak berfaedah. Dari isu sosial, ekonomi sehinggalah politik walaupun aku bukannya ditakdirkan menjadi 'pakar'. Selalunya apabila berfikir, aku akan mencatat sedikit sebagai bahan untuk aku cernakan di blog atau nota di fb. 

3.  Hari ini aku siram dan terus menyiram hingga menyirap darah aku bila teringatkan keadaan ini. Pokok-pokok sekiranya disiram hanya pucuk dan bahagian atas, sememangnya tidak lama lagi 'mampus' pokok itu. Rasanya hanya yang gila atau bodoh saja yang menyiram daun-daun dan pucuknya tanpa menyiram dan membasahi akar dengan tanah-tanah di kelilingnya. Yang menyokong dan terus memberi hayat pokok adalah akar-akarnya. Tanpa akar dan pohon-pohonnya pastilah pucuk dan segala ranting di atas akan layu dan reput di mamah matahari dan cuaca yang kian hari kian berubah tidak menentu. Analogi ini menyentap dan mengheret pemikiran aku kepada negara dengan isinya pemimpin dan rakyat. Tanpa rakyat siapalah pemimpin hatta siapa sekalipun kamu. Jika hanya pemimpin sahaja yang disiram dengan wang ringgit dan harta, sementelah rakyat dibiarkan kontang-kanting terjelir lidah kelaparan, berbogel kesejukan dan susah maka tunggulah detik-detik kematian sesebuah negara. Rakyatlah sebenarnya penyambung hayat sesebuah kerajaan dan negara. Jika rakyat hanya diharapkan terus menyalurkan air dan pemimpin meneguk, dari mana air akan terus datang kepada rakyat? Air dari langit hanya singgah sebentar di atas daun tetapi yang menyerap air dan menyimpan untuk kelangsungan pokok itu pastinya dari bawah.  Begitu jugalah dengan rakyat yang perlukan makanan, tempat tinggal serta pakaian untuk memberi nafas dan kelegaan kepada pemimpin di atas.

4.  Hidup jangan lupa diri, banyak yang di keliling kita menjadi pengajaran yang sangat berguna. Hanya yang diberi akal dan berfikir mampu memanfaatkan anugerah yang Allah berikan. Jika sekadar 'otak', lembu, keldai dan unta juga dikurniakan otak kepada mereka oleh Maha Pencipta. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian apalah gunanya. Namun, belum tercatat dalam sejarah manusia yang menyesal dahulu walaupun ungkapan ini sudah puluhan tahun berbaring dan berdengkur dalam masyarakat kita.

Wallahualam

SANI

No comments:

Post a Comment