Friday, 28 February 2014

Hentikan Kebiasaan

1. Musibah dan kecelaruan yang berlaku sejak zaman berzaman adalah berpunca daripada sikap masyarakat yang menganggap 'BIASA'. Setiap kali berlaku sesuatu masalah dan ada yang merungut maka akan datanglah suara-suara samada penentang, penjilat dan pengamal fahaman 'bebalisme' yang berbunyi "alah biasa la!". Jika berlaku 'suapan' oleh mana-mana agensi maka akan dijawab oleh penjilat "alah biasalah kalau siapa duduk situ pun sama saja". Jika ada pemimpin yang salahgunakan kuasa dan kaut harta rakyat juga akan dipalu bunyi yang sama. Jika rakyat ditindas dan tersepit dalam kancah inflasi yang serius juga akan disebut "biasa la, takkan harga barang makin lama makin murah?". Isteri melayan jantan lain juga akan disebut "ala biasa lah zaman sekarang". Anak menengking dan melawan kata-kata ibubapa juga pasti bunyinya "ala biasalah zaman dah berubah". Tanah runtuh, masalah air semuanya dianggap biasa dan jika ada yang merungut atau mengeluh maka bersiap sedialah kuping telinga untuk mendengar kata-kata BIASA.

2. Jika semua biasa, apa yang bukan luarbiasa? Tidak bolehkah yang sering dianggap biasa itu dijadikan luarbiasa? Harimau biasanya membaham manusia dan haiwan yang menjadi mangsa kerana fitrah atau kebiasaan harimau sebagai pemangsa. Tetapi jika dilatih dia menjadi jinak dan mendengar kata tuannya. Boleh saja kita menganggap harimau "biasalah membaham manusia" tetapi kita berusaha agar dia tidak memangsakan kita. Perempuan berjalan dalam gelap keseorangan "akan biasa" menjadi mangsa rogol tetapi kita berusaha mengelakkannya dengan pelbagai cara. 

3. Harus ada usaha yang berterusan untuk mengelakkan semua musibah, perkara tidak baik berlaku dengan menjadikannya 'luarbiasa' dan barulah ia akan ditentang. Jika semua menganggap biasa maka tidak akan ada usaha membetulkannya lantaran ia adalah BIASA. Penguatkuasa trafik membongkok ke dalam kereta pemandu di tepi jalan atau lebuhraya maka akan berbunyi "alah biasa la tu". Pekerja yang malas apabila ditegur oleh penyelia atau ketua juga tanpa malu dan segan menjawab " ala biasa la boss". Maka perbuatan begitu sampai bila pun tidak akan menemui noktah. Semuanya berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak ambil kisah dan menjadikannya jenama BIASA. 

4. Jangan hanya berharap perkara mungkar dan jahat seperti yang disebutkan di atas dapat dihentikan selagi kebiasaan yang BIASA tidak dihentikan. Selagi kuman atau virus tidak dihapuskan, penyakit tidak akan hilang. Itulah sebabnya 'antibiotik' dicipta untuk menghapuskan kuman dan virus sebelum penyakit yang hadir bersamanya juga hilang. Doktor sering berpesan agar pesakit menghabiskan ke semua 'antibiotik' yang diberikan walaupun demam atau penyakit sudah dirasakan hilang. Kerana apa? Kerana puncanya perlu dihapuskan agar penyakit sama tidak berulang. Kita adalah apa yang kita kerjakan berulang-ulang. Karena itu, keunggulan bukanlah suatu perbuatan, melainkan sebuah kebiasaan ~ Aristoteles ~

Wallahualam.

~: sani :~

No comments:

Post a Comment