Friday, 28 February 2014

Hentikan Kebiasaan

1. Musibah dan kecelaruan yang berlaku sejak zaman berzaman adalah berpunca daripada sikap masyarakat yang menganggap 'BIASA'. Setiap kali berlaku sesuatu masalah dan ada yang merungut maka akan datanglah suara-suara samada penentang, penjilat dan pengamal fahaman 'bebalisme' yang berbunyi "alah biasa la!". Jika berlaku 'suapan' oleh mana-mana agensi maka akan dijawab oleh penjilat "alah biasalah kalau siapa duduk situ pun sama saja". Jika ada pemimpin yang salahgunakan kuasa dan kaut harta rakyat juga akan dipalu bunyi yang sama. Jika rakyat ditindas dan tersepit dalam kancah inflasi yang serius juga akan disebut "biasa la, takkan harga barang makin lama makin murah?". Isteri melayan jantan lain juga akan disebut "ala biasa lah zaman sekarang". Anak menengking dan melawan kata-kata ibubapa juga pasti bunyinya "ala biasalah zaman dah berubah". Tanah runtuh, masalah air semuanya dianggap biasa dan jika ada yang merungut atau mengeluh maka bersiap sedialah kuping telinga untuk mendengar kata-kata BIASA.

2. Jika semua biasa, apa yang bukan luarbiasa? Tidak bolehkah yang sering dianggap biasa itu dijadikan luarbiasa? Harimau biasanya membaham manusia dan haiwan yang menjadi mangsa kerana fitrah atau kebiasaan harimau sebagai pemangsa. Tetapi jika dilatih dia menjadi jinak dan mendengar kata tuannya. Boleh saja kita menganggap harimau "biasalah membaham manusia" tetapi kita berusaha agar dia tidak memangsakan kita. Perempuan berjalan dalam gelap keseorangan "akan biasa" menjadi mangsa rogol tetapi kita berusaha mengelakkannya dengan pelbagai cara. 

3. Harus ada usaha yang berterusan untuk mengelakkan semua musibah, perkara tidak baik berlaku dengan menjadikannya 'luarbiasa' dan barulah ia akan ditentang. Jika semua menganggap biasa maka tidak akan ada usaha membetulkannya lantaran ia adalah BIASA. Penguatkuasa trafik membongkok ke dalam kereta pemandu di tepi jalan atau lebuhraya maka akan berbunyi "alah biasa la tu". Pekerja yang malas apabila ditegur oleh penyelia atau ketua juga tanpa malu dan segan menjawab " ala biasa la boss". Maka perbuatan begitu sampai bila pun tidak akan menemui noktah. Semuanya berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak ambil kisah dan menjadikannya jenama BIASA. 

4. Jangan hanya berharap perkara mungkar dan jahat seperti yang disebutkan di atas dapat dihentikan selagi kebiasaan yang BIASA tidak dihentikan. Selagi kuman atau virus tidak dihapuskan, penyakit tidak akan hilang. Itulah sebabnya 'antibiotik' dicipta untuk menghapuskan kuman dan virus sebelum penyakit yang hadir bersamanya juga hilang. Doktor sering berpesan agar pesakit menghabiskan ke semua 'antibiotik' yang diberikan walaupun demam atau penyakit sudah dirasakan hilang. Kerana apa? Kerana puncanya perlu dihapuskan agar penyakit sama tidak berulang. Kita adalah apa yang kita kerjakan berulang-ulang. Karena itu, keunggulan bukanlah suatu perbuatan, melainkan sebuah kebiasaan ~ Aristoteles ~

Wallahualam.

~: sani :~

Wednesday, 12 February 2014

Sambil menyelam minum air

1. Hari ini sebaik selesai menyiram pokok dan memberi makan kucing-kucing yang ada, terfikir untuk mencari buku-buku politik yang dijual di tingkat atas bangunan Chowrasta Pulau Pinang. Buku-buku yang sudah out of print memang menjadi kepuasan penggemar koleksi buku sebenarnya. 

2. Tanpa banyak soal, aku terus memandu kereta ke sana walaupun jam sudah hampir 1 tengahari. Sampai di Jalan Transfer, George Town dah 2.30 ptg. Makan tengahari lewat-lewat begini memang puas hati tambahan pula nasi padang yang dulunya sering aku makan. Lauk sedap banyak pilihan pulak tu. Anaknya yang masih kenal beritahu, "Abang! emak dah meninggal 1 1.2 tahun lalu". Hati aku tersentuh kerana ibunya baik dan rapat juga dan setiap kali ke sana dia pastinya sibuk melayan aku. Nampaknya memang sudah lama aku tak ke sana. Apapun, masak lemak belitung dengan ikan cencaru goreng bawang berteman sambal cili minyak dan cuka tak dilepaskan. 

3. Sebelum ke kedai buku, aku singgah ke salon rambut milik teman lama ketika di sana berhampiran Jalan Penang. Teman berbangsa Cina ini begitu gembira melihat aku datang dan kami mengambil peluang bersembang agak lama. Topik banyak berkisar tentang politik Pulau Mutiara ini dan perkara yang agak menarik disebutnya tadi adalah berkenaan ekonomi. Katanya, harta dan peluang ekonomi negara ini sebenarnya dipunggah oleh kelompok mamak bukannya kaum Cina seperti yang didakwa. Tambahnya lagi,rakyat berbangsa Cina di negara ini akan berbelanja dan menabung wang mereka di negara ini kerana ini tanahair mereka. Sedangkan kaum mamak pula mengaut keuntungan dan mengumpul harta serta wang untuk dihantar ke India. Jika difikir tanpa rasa prejudis, apa yang dikatakan oleh teman aku ini agak tidak terpesong. Jika disenaraikan seorang demi seorang memang mamak menjadi orang-orang penting dalam ekonomi dan politik ketika ini. Itu belum lagi, usahawan seperti Mydin, Hussain dan restoran nasi kandar yang berselerak di setiap inci mukabumi negara ini. 

4. Nampaknya, rakyat memerhatikan segala tindak-tanduk pemimpin dan setiap darinya menjadi kurap dan kudis yang akan memuntahkan nanah ke dalam mulut para pemimpin dan politik yang hebat menabur janji tetapi liat melunaskannya.

5. Setelah selesai sembang santai dengan teman berbangsa Cina, aku meneruskan hajat mendapatkan seberapa banyak buku-buku politik yang 'rare' atau 'out of print' di bangunan Chowrasta di Jalan Penang dan alhamdulilah dapat juga 10 buah buku yang agak menarik untuk aku bawa pulang menjadi penghuni kabin buku aku.

Wallahualam

Sani
12/2/14 @11.52pm


Sunday, 2 February 2014

Bila Pak Pandir Ketagih Menyiram

1.  Pagi ini rutin harian seperti hari-hari lain samada sibuk atau tidak, pastinya aku membelai muncung getah dengan penyembur di empat kepala paip keliling rumah menyiram pokok. Yang membezakannya hanya masa samada awal atau lewat. Yang pasti dua kali sehari pagi dan petang pokok-pokok kesayangan aku akan mandi walaupun tuannya terkurang mandi. 

2.  Setiap kali aku menyiram pokok pastinya berbagai perkara yang melalui lorong pemikiran aku akan dibedah tanpa yang arah tak sudah-sudah walaupun ramai yang fikir tak berfaedah. Dari isu sosial, ekonomi sehinggalah politik walaupun aku bukannya ditakdirkan menjadi 'pakar'. Selalunya apabila berfikir, aku akan mencatat sedikit sebagai bahan untuk aku cernakan di blog atau nota di fb. 

3.  Hari ini aku siram dan terus menyiram hingga menyirap darah aku bila teringatkan keadaan ini. Pokok-pokok sekiranya disiram hanya pucuk dan bahagian atas, sememangnya tidak lama lagi 'mampus' pokok itu. Rasanya hanya yang gila atau bodoh saja yang menyiram daun-daun dan pucuknya tanpa menyiram dan membasahi akar dengan tanah-tanah di kelilingnya. Yang menyokong dan terus memberi hayat pokok adalah akar-akarnya. Tanpa akar dan pohon-pohonnya pastilah pucuk dan segala ranting di atas akan layu dan reput di mamah matahari dan cuaca yang kian hari kian berubah tidak menentu. Analogi ini menyentap dan mengheret pemikiran aku kepada negara dengan isinya pemimpin dan rakyat. Tanpa rakyat siapalah pemimpin hatta siapa sekalipun kamu. Jika hanya pemimpin sahaja yang disiram dengan wang ringgit dan harta, sementelah rakyat dibiarkan kontang-kanting terjelir lidah kelaparan, berbogel kesejukan dan susah maka tunggulah detik-detik kematian sesebuah negara. Rakyatlah sebenarnya penyambung hayat sesebuah kerajaan dan negara. Jika rakyat hanya diharapkan terus menyalurkan air dan pemimpin meneguk, dari mana air akan terus datang kepada rakyat? Air dari langit hanya singgah sebentar di atas daun tetapi yang menyerap air dan menyimpan untuk kelangsungan pokok itu pastinya dari bawah.  Begitu jugalah dengan rakyat yang perlukan makanan, tempat tinggal serta pakaian untuk memberi nafas dan kelegaan kepada pemimpin di atas.

4.  Hidup jangan lupa diri, banyak yang di keliling kita menjadi pengajaran yang sangat berguna. Hanya yang diberi akal dan berfikir mampu memanfaatkan anugerah yang Allah berikan. Jika sekadar 'otak', lembu, keldai dan unta juga dikurniakan otak kepada mereka oleh Maha Pencipta. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian apalah gunanya. Namun, belum tercatat dalam sejarah manusia yang menyesal dahulu walaupun ungkapan ini sudah puluhan tahun berbaring dan berdengkur dalam masyarakat kita.

Wallahualam

SANI

Sudah Cukup Sudah

Seringkali manusia memilih untuk mencari jalan pintas tidak kira apa saja yang didepani. Yang penting mudah dan memberi laba. Salah satu kaedah yang dipermudah adalah dedah dan dedah supaya musuh mereka diludah. Hormat menghormati ada kaedah tapi nampaknya dah tak sudah-sudah. Jika tunduk hormat aku disalahfahami sebagai lemah dan mudah dimamah, maka tindakbalas yang perlu adalah kaki di atas sesuatu yang pantas  dan tunduk tidak lagi menetas.  

Melakukan perkara betul di tempat yang salah maka ia menjadi salah. Pengamal homoseks di bumi penggila amalan seks songsang ini adalah manusia yang sempurna berbanding yang tidak. Ketagihan melakukan sesuatu yang benar dan terhormat di tempat salah juga akan menerima padah diludah dan direndah-rendah. Apa lagi yang perlu dibedah untuk melihat sesuatu yang indah? 

Tiap sesuatu ada penyudah dan aku memilih untuk buat tak endah... Kata kumpulan muzik Nirwana, "Cukup-Cukup Sudah".

Wallahualam

~: sani :~