Friday, 29 November 2013

ANJING MENYALAK BUKIT

Salam,

1.       Yang dinamakan makhluk itu termasuklah segala isi bumi dan langit tanpa mengira samada yang tampaknya hidup atau mati kerana semuanya hidup dan menjadi hamba kepada Maha Pencipta. Ianya termasuklah anjing dan bukit yang dapat kita berguru pada mereka tanpa hadir di hadapan bersimpuh sambil membawa pulut kuning dan memakai pakaian khas seperti persilatan. Itulah perguruan alam yang datang secara percuma buat yang bijak menggunakan ‘akal’.

2.       Peribahasa 'anjing menyalak bukit' didatangkan oleh pendahulu kita yang kaya dengan analogi dan kiasan membawa jutaan tafsir dan yang pasti takkan runtuh bukit itu kerana ia hanya kerja yang sia-sia. Manusia tidak perlu meng'anjing'kan diri dan terpaksa menyalak tanpa mengenal erti salakan dan matlamatnya. Dari alam kita belajar dan jangan dipersiakan hikmah di sebalik kisah anjing menyalak bukit ini.

3.       Kisah Edward Snowden (ES) bukanlah sesuatu baru kerana sebelum ini juga beberapa orang ‘mole’ dalam organisasi perisikan telah menelanjangkan banyak ceritera. Jika ada yang terkejut dengan pendedahan oleh beliau, maka itulah sebenarnya pem'bogel'an diri sehingga mendedahkan segala kelemahan yang ada pada kita. Saya amat tertarik dengan nukilan Datuk Kadir Jasin (DKJ) dalam blognya semalam (28/12/13) bertajuk Crying Wolf Over Spying. Menurut DKJ, beliau langsung tidak terperanjat dengan apa yang didedahkan oleh ES kerana menurutnya, adalah menjadi perkara biasa samada negara besar atau kecil mengintip antara satu sama lain. Saya juga walaupun tidak bergelar Datuk dan terkenal memilih sisi yang sama terhadap isu ini. Betapa di kampung dan tempat tinggal kita sejak zaman berzaman sudah berlaku kegiatan pengintipan seperti ini. Dari perkataan ‘mengendap’, mengintai sehinggalah sekarang banyak yang menggunakan perkataan ‘skodeng’ terus menerus berlaku. Yang harus digodam bukanlah kaki skodeng, tetapi salahkan diri yang tidak cukup bersedia dan berhati-hati dalam usaha sekatan terhadap pelaku ‘skodeng’. Jika ki
ta terlalu daif tanpa kedudukan kewangan yang selesa untuk menyekat kegiatan pengintipan, lakukan yang terbaik untuk membatasinya dan tidak selamanya hanya mencari alasan untuk menutup kelemahan.

4.       Menjerit di sana-sini tentang perskodengan hanya menampakkan kejahilan mutlak kerana ianya sesuatu yang lumrah. Oleh kerana itulah Perdana Menteri Australia Tony Abbott enggan meminta maaf setelah Australia didakwa menjalankan kegiatan pengintipan terhadap Indonesia. Kerana dia menganggap menjadi tanggungjawabnya mempertahankan organisasi perisikan negaranya dari dihina dan dicerca tanpa pembelaan. Itulah ciri-ciri pemimpin yang diharapkan oleh setiap yang dipimpin. Bukannya hanya berdondang sayang ketika agensi perisikan negaranya dipuji dan dilambung tetapi juga mempertahankan mereka ketika ditekan dan dijadikan sasaran. Ramai di kalangan pemimpin yang hanya berharap untuk mengutip hasil pujian tetapi akan sama-sama menindas dan menekan orang bawahan ketika berdepan masalah. Pemimpin jenis apa yang hidup ketika ini?

5.       Serigala jika dibiarkan berdamping dengan kambing apa yang kita harapkan keputusannya? Apa yang wajar dilakukan adalah menghalang serigala dari mendekati dan membaham kambing. Jika kita hanya asyik menyalahkan serigala tetapi pada masa yang sama membiarkan kambing berkeliaran siang dan malam tanpa jagaan sewajarnya, bukan hanya serigala, serigila dan serigula pun terpikat untuk memangsakan kambing.

6.       Kita tidak memihak kepada Singapura mahupun Australia dan US, tetapi dengan menyalahkan mereka dalam kegiatan pengintipan bermakna kita seolah-olah tidak arif tentang dasar pertahanan dan sistem kawalan keselamatan negara-negara terbabit. “Sebusuk-busuk telunjuk, telunjuk juga pencolek tahi mata.” Jangan sampai satu ketika kita tergolek, yang dianggap musuh pula kita sembah. Singapura sudah sememangnya diketahui umum menggunakan khidmat nasihat dan doktrin pertahanan Israel serta berbagai kemudahan pertahanan Amerika Kecil dan Amerika Besar sehingga digelar sebagai Israel Asia Tenggara. Apakah kita hanya perlu mendepang tangan berdoa agar kita bernasib baik tidak diintip oleh negara jiran ini? Kemahiran berpolitik selama ini seharusnya banyak menjadi modal menambah kematangan pihak kita. Seperti kata Mao Tse Tung, “politik adalah perang tanpa darah, manakala peperangan adalah politik yang berdarah”. Elakkan darah dan jauhkan peperangan.

7.       Setiap negara juga melakukan perkara sama termasuk diri kita sebaik peluang berada di depan mata. Yang membezakannya hanyalah peluang dan keupayaan. Jika kita tidak ada peluang maka cipta lah peluang itu dan jika tidak memiliki keupayaan, binalah keupayaan itu hatta terpaksa menelan ‘pil tongkat ali’ sebotol setiap kali selepas makan. Kata DKJ “In fact, we are a fool if we don’t do the same. Every nation spies on its neighbour. The difference is a good spy does not get caught.”

Wallahualam

~: sani :~

29/11/13 @1740hrs


Tuesday, 26 November 2013

SERIGALA MENJAGA KAMBING

Salam,

1. Alam ini jika direnung dan diperhatikan isi kandungnya, pelbagai makhluk termasuk haiwan dicipta oleh Maha Pencipta sesuai dengan fitrah masing-masing. Ada yang dicipta sebagai pemangsa dan ada pula menjadi mangsa. Fitrah penciptaan mereka tidaklah menjadikan ia sebagai ketidakadilan Ilahi melainkan hikmah yg terkandung didalamnya jutaan pengajaran dan ilmu sehingga tak terjangkau dek fikiran manusia walau segenius mana sekali manusia itu. Namun, itu tidak bererti mangsa harus dibiarkan tanpa perlindungan daripada diratah dengan mudah oleh pemangsa. Sama seperti fitrah perogol tidak boleh dibiarkan merogol sesuka hati atas alasan 'Hak Asasi Manusia' (HAM). Sekiranya pemangsa berada di hadapan mangsa dan bersiap-siaga menerkam dan membaham mangsa, apakah kita hanya perlu berdiam diri memeluk tubuh melihat kengerian mangsa dirobek-robek oleh pemangsa bermain di mata kita?


2. Di dalam kehidupan kita hari ini, yang kuat menjadikan 'hukum rimba' sebagai  peraturan sehingga yang lemah hidup ketakutan, dilingkungi kebimbangan tanpa pembelaan kerana kekuatan sebenar ketika ini adalah wang, harta, pangkat, jawatan dan kuasa. Yang berkuasa walaupun melepaskan angin berbau bangkai tetaplah disanjung terkinja-kinja oleh para penyokong dan pengkagum atas nama membela bangsa, agama dan tanahair. Hidung tersumbat, mata telah menjadi buta dan telinga semena-mena menjadi tuli berpunca daripada ketaksuban dan lelehan habuan yang dinanti-nanti untuk dijilat. 


3. Marhaen atau di tanah seberang dipanggil 'wong cilik' tidak tahu arah mana harus dituju kerana apa saja masalah yang muncul dalam kehidupan mereka dianggap tidak membebankan sedangkan setiap kali ianya dirujuk, maka padang bola seluas lautan ditendang ke sana sini. No Wrong Door Policy hanyalah kata-kata manis atau di Thailand di sebut Park Wan bermasud cakap manis sahaja. Apa yang berlaku ini sebenarnya menyerupai analogi membiarkan serigala menjaga kambing. Habis sekandang diterkam lagi kandang yang lain. Sampai bila keadaan ini harus dibiarkan. Retorik sudah buncit ditelan rakyat sehingga seakan-akan busung yang begitu sakit semakin lama disimpan. Apakah wajar dibiarkan serigala menjaga kambing sepertimana manusia-manusia rakus membaham manusia lain? Lihat saja operator-operator perkhidmatan telekomunikasi, syarikat-syarikat gergasi utiliti seperti pembekal elektrik, TV swasta Astro dan seluruh perkhimatan dan barangan bersifat monopoli yang membaham rakyat sehingga rapat ke dinding. Di manakah kebertanggungjawaban pihak berkuasa samada kementerian ataupun individu yg pecah anak tekak menjerit menjadi pembela rakyat?


4. Hadirlah wahai manusia-manusia yang diamanahkan rakyat untuk membela mereka. Tugas membela rakyat bukanlah sesuatu yang hadir bermusim. Teguran dan kritikan rakyat jadikan sebagai asas 'transformasi' dan tradisi membela rakyat. Jangan pula setiap kali teguran dan kritikan dihantar, peluru berpandu pula yang dibalas. Rasa sedih diluahkan, sebaliknya maki hamun yang diterima. Kuasa yang ada dan keistimewaan yang dibahukan itu adalah amanah Allah swt. Jangan hanya berbelit-belit lidah menghafal hadis dan surah-surah kitab suci al-Quran untuk berhujah dengan musuh-musuh politik tetapi di belakang mereka penuh dengan serigala jadian yang menanti peluang membaham rakyat.


Wallahualam


~: sani :~


Monday, 25 November 2013

TANPA TEMUJANJI

Salam,

1. Ini artikel pertama yang menjadi catatan saya untuk dikongsi bersama pembaca blog 'Berguru Pada Alam'. Memilih nama blog merupakan satu tugas yang nampak mudah tetapi agak mengusutkan saraf minda yang sudah sememangnya kusut lagi semput. Blog saya sebelum ini banyak berbicara soal politik tetapi tidak bermakna tiada hubungkait antara alam dengan politik, sosial dan juga cabang-cabang ekonomi yang menjadi tunjang kehidupan manusia.


2. 'Tanpa Temujanji' saya tampilkan blog baharu sepertimana saya sebut tentang salah satu makhluk alam yang diciptakan oleh Allah swt iaitu kucing dalam facebook saya malam ini kepada teman-teman. Saya senang dan tenang bersahabat dengan makhluk alam bernama kucing lantaran tiada 'temujanji' yang perlu dibuat ketika saya perlukan kehadiran mereka. Kehadiran kucing-kucing cukup ikhlas tanpa perlu berkias. Mereka hadir tanpa perasaan marah, benci, iri atau dengki kecuali membawa karung kasih sayang untuk dikongsi dengan saya. Limpahan kasih sayang tanpa sedikit kebakhilan dicampur dalam karung yang digalas untuk dibawa ke hadapan saya. Itulah rahmat Allah yang dicampakkan dalam dua hati yang yang dipertemukan antara manusia dan haiwan.


3. Memberi sebahagian kecil rezeki yang jatuh dari langit kepada mereka tidak akan memufliskan manusia malah menambah berkat rezeki sediada sehingga tidak terjangkau di fikiran kita dari mana datangnya rezeki-rezeki yang tidak pernah putus itu. Sedikit mencukupi lebih bermakna daripada banyak yang tidak kenal erti syukur. Manusia yang tamak tidak lebih daripada orang dahaga meneguk air laut, semakin diteguk semakin haus. 


4. Semoga akan lahir lebih ramai manusia yang berjiwa dan fikiran manusia memakmurkan bumi dengan kasih sayang antara manusia dan haiwan dan sama-sama kita berguru pada alam yang penuh dengan pengajaran dan ilmu tanpa manusia ketahui ia sebenar-benarnya tidak pernah jauh dari kejahilan. Kata Jawarhalal Nehru Perdana Menteri India yang pertama, "Orang yang bijaksana sedar betapa sedikitnya yang dia tahu; hanya orang yang bodoh menyangka dia tahu segala-galanya."


Wallahualam,


~: sani:~